Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggang kemalangan di Ladang Pasir Mados, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggang terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Ladang Pasir Mados, Jalan Sungai Tiram, Ulu Tiram di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, insiden itu nahas berlaku pada pukul 9.30 pagi tadi melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditungggang remaja terbabit serta sebuah lori jenis HNN.

“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki tempatan berumur 39 tahun membelok ke kiri tiba-tiba dan melanggar motosikal terbabit hingga mangsa yang berusia 18 tahun terjatuh.

“Pemandu lori berkenaan pada mulanya tidak menyedari telah melanggar mangsa dan mengundur kenderaannya sebelum dimaklumkan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, akibat kemalangan itu, mangsa yang bekerja sebagai kerani mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Remaja tersebut dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini oleh pekerja ladang tetapi disahkan meninggal dunia pada pukul 10.45 pagi ketika menerima rawatan.

Tambah Mohd Sohaimi, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan pemandu lori terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut.

“Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan menumpukan perhatian ketika memandu selain mematuhi undang-undang jalan raya,” ujarnya

Tambahnya, sebarang maklumat daripada saksi kejadian boleh disalurkan kepada pihak polis menerusi talian 07-3864222 bagi membantu siasatan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast