Antara suspek yang dipaparkan pada sidang media berkenaan Tangkapan Rampasan OP Kontraban oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JDKNKA) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 NOVEMBER 2025.

SHAH ALAM – Kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai yang dijalankan empat lelaki warga asing sebagai kerja sambilan terbongkar selepas mereka ditahan dalam operasi khas di Sungai Buloh pada 18 Oktober lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kesemua suspek berusia 21 hingga 38 tahun itu menerima kadar upah antara RM100 hingga RM200 dan dibayar mengikut jumlah rokok tidak bercukai yang berjaya diuruskan setiap kali aktiviti pemunggahan dilakukan.

“Serbuan dijalankan sekitar 3.30 pagi oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) IPK Selangor hasil maklumat risikan berhubung aktiviti penyimpanan dan penjualan rokok seludup di kawasan berkenaan.

“Hasil pemantauan mendapati beberapa individu sedang memunggah kotak-kotak disyaki mengandungi rokok tidak bercukai dari sebuah lori ke beberapa kenderaan lain.

“Pasukan kemudian bertindak pantas menahan empat suspek di lokasi sebelum menemui pelbagai jenis rokok tidak bercukai selain beberapa kenderaan dipercayai digunakan bagi tujuan pengedaran,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar menunjukkan barangan rampasan pada sidang media berkenaan Tangkapan Rampasan OP Kontraban oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JDKNKA) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 NOVEMBER 2025.

Tambah Shazeli, pihaknya juga telah merampas melibatkan 8,727 karton rokok pelbagai jenama yang dianggarkan bernilai RM639,470.

“Selain itu, semakan mendapati nilai keseluruhan kenderaan yang dirampas termasuk sebuah lori bonded dan tujuh buah kereta pula berjumlah RM374,600 menjadikan jumlah keseluruhan rampasan mencecah RM1.01 juta.

“Siasatan mendapati kesemua suspek bekerja sebagai buruh kontrak dan menjalankan kegiatan penyeludupan rokok secara sambilan dan mengaku hanya menerima bayaran harian serta tidak mengenali individu yang membiayai aktiviti tersebut,” jelasnya.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar menunjukkan barangan rampasan pada sidang media berkenaan Tangkapan Rampasan OP Kontraban oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JDKNKA) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 11 NOVEMBER 2025.

Ujarnya, semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysi (JIM) mendapati kesemua suspek mempunyai dokumen perjalanan yang sah, namun siasatan lanjut dijalankan bagi mengenal pasti jika berlaku sebarang pelanggaran undang-undang imigresen.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan yang digunakan bukan milik suspek, sebaliknya didaftarkan atas nama individu lain termasuk warganegara tempatan.

“Malah siasatan mendapati kumpulan ini bergerak secara bebas tanpa kaitan dengan mana-mana sindiket,” katanya.

Shazeli berkata, kesemua suspek kini masih direman untuk siasatan lanjut dan akan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

“Mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan satu lagi kes rampasan di kawasan pentadbiran tersebut dan polis akan mencadangkan pertuduhan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Tambahnya, kejayaan operasi itu mencerminkan komitmen berterusan PDRM, khususnya JKDNKA, dalam membanteras kegiatan penyeludupan barangan tidak bercukai yang menjejaskan hasil negara.

“Polis Selangor akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan dan menyeru orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah penyeludupan bagi membantu tindakan lanjut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast