KLUANG – Seorang runner pejabat peguam yang maut dalam kemalangan, di sini, pagi tadi tidak sempat melihat anak ketiganya yang bakal lahir kira-kira tiga bulan lagi.
Isterinya, Naziha Mohd Salleh, 31, yang kini mengandung enam bulan berkata, pertemuan terakhir arwah bersama-sama dua anak perempuannya yang berusia empat dan dua tahun adalah malam tadi.
Naziha tidak menyangka kunjungan suaminya, Mohamad Salrizal Rohani, 31, ke rumah ibunya di Taman Mengkibol menjadi detik terakhir arwah bersama-sama dua anaknya itu.
“Saya tidak bersama-sama dalam kunjungan itu kerana bekerja. Saya rasa amat terkejut dengan kejadian menimpa suaminya selepas hanya lima tahun hidup bersama-samanya.
“Arwah pergi tanpa sebarang pesan malah ketika pulang bekerja dia seperti biasa tanpa ada sebarang perubahan yang menunjukkan akan meninggalkan saya dan anak-anak untuk selama-lamanya,” katanya.
Dia berkata demikian kepada pemberita ketika menerima ziarah Ketua Wanita UMNO Kluang, Zainani Jamaluddin di rumahnya di Taman Mengkibol, di sini.
Dalam kejadian tersebut, Mohamad Salrizal maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya melanggar sebuah lori yang berhenti untuk memasuki simpang di Kilometer 41, Jalan Batu Pahat-Kluang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku pada pukul 10.20 pagi itu melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max dipandu Mohamad Salrizal dan sebuah lori satu tan jenis Daihatsu dipandu lelaki 31 tahun dengan muatan batu blok.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika lori satu tan dari arah Kluang ke Batu Pahat dan berhenti di simpang masuk ke kawasan UK Farm sebelum dilanggar oleh pacuan empat roda dipandu mangsa yang turut datang dari arah sama.
“Perlanggaran itu berlaku selepas kenderaan pacuan empat roda berkenaan dikatakan berpunca daripada hilang kawalan oleh pemandunya sehingga melanggar belakang lori tersebut.
“Akibat kejadian itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Bahrin lagi, mayat mangsa kemudiannya dirujuk ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette















