KUALA LUMPUR – Pasukan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran air ketum dalam operasi Op Taring Wawasan di Kampung Tebing Tinggi, Tanah Merah, Kelantan semalam.
Pemangku Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, sebelum itu, pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 44 tahun yang mencurigakan hadapan sebuah rumah di kampung berkenaan.
“Dalam operasi sekitar 5 petang, pemeriksaan menemukan 13 bungkusan cecair disyaki air ketum di tempat duduk belakang dengan anggaran nilai RM390.

“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM1,300 yang dipercayai hasil penjualan air ketum,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semua rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette
















