KUALA LUMPUR – Tiga individu termasuk dua perempuan ditahan kerana memasuki negara ini secara haram di Rantau Panjang, Kelantan petang semalam.
Pemangku Komander Briged Tenggara Pasukan Batalion Lapan Pasukan Gerakan Am (PGA), Asisten Komisioner Ijid Landu Binju berkata, mereka yang berumur antara 22 hingga 29 tahun itu cuba masuk ke Malaysia melalui Pengkalan Haram MCA dan Pok Su Roni, Rantau Panjang, Kelantan pada 11 November 2025 dari jam 1.15 hingga 1.40 petang.
“Penangkapan ini berlaku ketika Operasi Taring Wawasan Kelantan sedang dijalankan di lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun rasmi Facebook PGA hari ini.
Tambah beliau, ketiga-tiga suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Menurut Ijid Landu, salah seorang suspek wanita didapati positif dadah jenis Ketamin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette
















