Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Jurang pampasan yang ditetapkan mahkamah dalam kes melibatkan aktivis Amri Che Mat dan Pastor Raymond Koh menimbulkan persoalan asas terhadap kesaksamaan undang-undang dan mencabar kepercayaan rakyat terhadap sistem kehakiman negara.

Menurut Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, prinsip keadilan tidak boleh dipengaruhi oleh agama, latar belakang atau status seseorang.

Katanya, nilai nyawa rakyat tidak boleh diukur berdasarkan siapa mereka atau sejauh mana perhatian media diberikan kepada kes tersebut.

Ujar beliau, mahkamah telah mengesahkan bahawa wujud kegagalan pihak keselamatan dalam melaksanakan tanggungjawab melindungi rakyat dalam kes tersebut.

“Ini menunjukkan kelemahan tadbir urus dan mekanisme akauntabiliti yang perlu diperbaiki segera.

“Kegagalan menangani isu penghilangan paksa secara adil akan menjejaskan reputasi negara di peringkat antarabangsa dan menggugat keyakinan pelabur terhadap kestabilan sistem keadilan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Jais menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan semakan agar kadar pampasan kepada keluarga Amri disemak dan diselaraskan dengan kes Pastor Raymond berdasarkan prinsip keadilan yang sama.

Selain itu, katanya, kerajaan juga perlu menubuhkan mekanisme pencegahan penghilangan paksa serta memantau pelaksanaan keputusan mahkamah secara bebas dan telus.

Dalam masa sama, tambah beliau, Parlimen perlu mewujudkan garis panduan pampasan nasional bagi memastikan kes serupa di masa hadapan tidak lagi menimbulkan jurang nilai nyawa rakyat.

“Isu ini bukan soal agama atau kelompok, tetapi cerminan integriti negara dalam menjunjung kedaulatan undang-undang (rule of law),” katanya.

Tegas Jais, MCW berpendirian prinsip keadilan mesti dilihat dan dirasai oleh semua, bukan hanya dibaca dalam teks undang-undang.

Ujar beliau, sekiranya jurang pampasan itu dibiarkan, Malaysia sedang menghantar mesej bahawa nilai nyawa rakyat boleh berubah mengikut identiti.

“Ini bukan sahaja bertentangan dengan Perlembagaan, malah mengkhianati semangat keadilan yang menjadi asas negara,” katanya.

Terdahulu, mahkamah memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi keseluruhan RM3,264,457.52 berserta kos dan faedah kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin.

Mahkamah sama turut memerintahkan kerajaan membayar lebih RM37 juta kepada isteri Raymond, Susanna Liew.

Ia susulan perintah supaya kerajaan dan polis membayar ganti rugi RM10,000 sehari kepada keluarga Raymond bermula dari tarikh beliau diculik pada 13 Februari 2017 sehingga pihak berkuasa mendedahkan keberadaannya.

Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016, manakala Raymond hilang pada 13 Februari 2017. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast