BANGI – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, isu rayuan terhadap keputusan mahkamah berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri Sabah tidak ada kaitan dengan persediaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu.
Menurut beliau, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah susulan sebelum ini, termasuk mengadakan beberapa siri mesyuarat bagi membincangkan perkara berkenaan.
“Kita sudah buat, apa dia sekarang? Sebab itu kita argue against the decision of court.
“Tiada rayuan bukan sebab PRN, kita sudah terima keputusan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Konvensyen Pengajian Islam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa 2025 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.
Mengulas lanjut Anwar berkata, mesyuarat berhubung perkara itu telah diadakan berkali-kali dan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof selain turut dihadirinya sendiri di Kuching, Kota Kinabalu dan Kuala Lumpur.
Katanya, komitmen kerajaan untuk menunaikan hak Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tetap diteruskan.
Sebelum ini, terdapat “cakap-cakap” dan “tuduhan” di media sosial berhubung perkara berkenaan yang didakwa satu cubaan untuk memancing undi.
Terdahulu hari ini, Perdana Menteri ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat menjelaskan, keputusan Kerajaan Persekutuan untuk tidak merayu penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung pemberian khas 40 peratus hasil kepada Sabah merupakan komitmen Putrajaya menghormati hak negeri itu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Anwar berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap keputusan mahkamah dan kedudukan perlembagaan dan bukan kerana tekanan politik.
Beliau berkata, Mesyuarat Khas Jemaah Menteri kelmarin telah memutuskan untuk tidak merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, selaras dengan nasihat Jabatan Peguam Negara yang menegaskan bahawa, hak rakyat Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih wajar dihormati.
Kerajaan juga bersetuju memulakan rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi pelaksanaan mekanisme tersebut, ujarya.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan tetap akan merayu terhadap bahagian penghakiman yang menyentuh dakwaan salah guna kuasa dan pelanggaran kewajipan perlembagaan oleh kerajaan-kerajaan Persekutuan terdahulu sejak 1974.
Menurut Anwar, walaupun kerajaan kini bersifat sementara menjelang pilihan raya, rundingan teknikal tetap diteruskan bagi memastikan proses penyelarasan tidak tertangguh.
Katanya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan telah mengutus surat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah untuk memulakan rundingan tersebut. – MalaysiaGazette
















