KUALA LUMPUR – Penduduk Malaysia pada suku ketiga 2025 dianggarkan 34.3 juta berbanding 34.1 juta tempoh sama tahun lalu dengan pertumbuhan yang lebih perlahan dengan 0.5 peratus berbanding 1.6 peratus (ST3 2024).
Komposisi penduduk warganegara pada suku tahun ketiga 2025 meningkat kepada 90.1 peratus daripada 90.0 peratus (ST3 2024).
Sementara itu, komposisi penduduk bukan warganegara menurun daripada 10.0 peratus kepada 9.9 peratus bagi tempoh yang sama.
Penduduk lelaki dan perempuan masing-masing meningkat kepada 18.0 juta daripada 17.9 juta dan 16.3 juta daripada 16.2 pada suku tahun ketiga 2024 dalam tempoh yang sama.
Nisbah jantina keseluruhan penduduk ialah 110 lelaki bagi setiap 100 perempuan manakala nisbah jantina bagi warganegara ialah 102.
Komposisi penduduk tua (65 tahun dan lebih) meningkat daripada 7.8 peratus kepada 8.0 peratus pada suku tahun ketiga 2025.
Sementara itu, penduduk umur muda (0-14 tahun) merekodkan penurunan daripada 22.0 peratus kepada 21.6 peratus.

Penduduk umur bekerja (15-64 tahun) meningkat daripada 70.2 peratus kepada 70.4 peratus bagi tempoh yang sama.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kaum Melayu menyumbang 58.2 peratus daripada jumlah penduduk pada suku tahun ketiga 2025 (ST3 2024: 58.1%).
Penduduk bumiputera lain dan etnik India kekal tidak berubah berbanding suku tahun ketiga 2024 iaitu masing-masing pada 12.3 peratus dan 6.5 peratus.
Sementara itu, komposisi etnik Cina menurun kepada 22.2 peratus pada tempoh yang sama.
Bumiputera lain terdiri daripada Bumiputera Sabah, Bumiputera Sarawak dan Bumiputera Semenanjung Malaysia lain. Bumiputera Sabah menyumbang 55.3 peratus daripada Bumiputera Lain yang terdiri daripada Kadazan/ Dusun (31.7%), Bajau (26.5%), Murut (5.1%) dan Bumiputera Sabah lain (36.7%).
Sementara itu, Bumiputera Sarawak (32.3%) terdiri daripada Iban (59.1%), Bidayuh (17.1%), Melanau (10.6%) dan Bumiputera Sarawak lain (13.2%).
“Selaras dengan pertumbuhan penduduk yang perlahan, bilangan kelahiran hidup terus merekodkan penurunan sebanyak 7.8 peratus kepada 95,469 kelahiran berbanding 103,594 kelahiran pada suku tahun ketiga 2024.
“Bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 49,270 kelahiran berbanding 46,199 kelahiran. Nisbah jantina ketika lahir ialah 107 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” kata beliau.
Menurutnya, Selangor merekodkan bilangan kelahiran hidup tertinggi dengan 18,019 kelahiran (18.9%) manakala kelahiran hidup terendah direkodkan di Labuan dengan 316 kelahiran (0.3%).
Ibu berumur 30-39 tahun mencatatkan kelahiran hidup tertinggi dengan 48,521 kelahiran (50.8%), diikuti oleh ibu berumur 20-29 tahun (42.0%), 40 tahun dan lebih (5.2%) dan kurang daripada 20 tahun (1.9%).
Secara purata, seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 43 bayi bagi setiap jam dan 1,038 bayi sehari pada suku tahun ketiga 2025.
Dari segi etnik, Melayu menyumbang 69.0 peratus (65,851 kelahiran) daripada jumlah kelahiran hidup pada suku tahun ketiga 2025 (ST3 2024: 67,466 kelahiran, 65.1%).
Sementara itu, etnik Cina dan India masing-masing menurun kepada 7.9 peratus dan 3.9 peratus berbanding 11.3 peratus dan 4.3 peratus pada suku tahun ketiga 2024.
Kelahiran hidup bagi bumiputera lain kekal tidak berubah pada 12.7 peratus berbanding pada tempoh yang sama.

Bumiputera Sabah menyumbang 59.1 peratus daripada Bumiputera Lain yang terdiri daripada Kadazan/ Dusun (34.3%),
Bajau (30.3%), Murut (6.6%) dan Bumiputera Sabah lain (28.8%).
Sementara itu, Bumiputera Sarawak merekodkan 33.9 peratus yang terdiri daripada Iban (59.3%), Bidayuh (16.2%), Melanau (11.5%) dan Bumiputera Sarawak lain (13.0%).
Tambah Mohd Uzir, sebanyak 46,643 kematian telah direkodkan pada suku tahun ketiga 2025, menurun 5.6 peratus berbanding suku tahun ketiga 2024 (49,399 kematian) dengan Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi dengan 7,344 kematian (15.7%) manakala Putrajaya merekodkan bilangan kematian terendah dengan 60 kematian (0.1%).
Penduduk berumur 60 tahun dan lebih merekodkan bilangan tertinggi dengan 32,619 kematian (69.9%), diikuti 41-59 tahun (20.5%), 15-40 tahun (7.4%) dan 0-14 tahun (2.2%).
Terdapat 4.9 peratus kematian bagi penduduk berumur 90 tahun dan lebih.
Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 21 kematian direkodkan setiap jam dan 507 kematian sehari pada suku tahun ketiga 2025.
Ketua Perangkawan berkata, dunia ketika ini menyaksikan trend penurunan global dalam kadar kelahiran dan kadar kesuburan jumlah (TFR) apabila semakin banyak negara mencatatkan TFR di bawah paras penggantian iaitu 2.1 anak bagi setiap perempuan berumur 15-49 tahun.
Fenomena ini menimbulkan cabaran besar kepada struktur demografi, pertumbuhan ekonomi dan keseimbangan sosial di
peringkat global dan negara. – MalaysiaGazette
















