KUALA LUMPUR – Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid menyifatkan kenyataan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana lebih selari dengan parti itu sebagai mengelirukan ahli-ahli UMNO.
Malah, kata beliau, kenyataan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu juga mencabar integriti kepimpinan parti UMNO.
Ini kerana, jelasnya, Tengku Zafrul sendiri telah diangkat sebagai Senator dan diberi jawatan sebagai Menteri yang mewakili UMNO pada ketika itu, justeru menimbulkan persoalan adakah haluannya sama hanya untuk tempoh tertentu.
Tegas Nurulhidayah yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Bagan Datuk, beliau bukan seorang yang mudah melabel sesiapa sebagai pengkhianat, kerana istilah itu besar dan berat.
Namun, ujarnya, perbuatan menzahirkan kesetiaan ideologi kepada parti lain apabila pernah mempunyai jawatan dalam UMNO adalah tindakan yang jelas bertentangan dengan prinsip berorganisasi.
“Pesanan saya buat diri sendiri dan kepada ahli UMNO yang masih setia, kita tidak perlu “carried away” pada episod kecil seperti ini.
“UMNO lebih besar daripada mana-mana individu. Perjuangan kita tidak terhenti kerana ada diantara kita telah memilih haluan yang berbeza,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan Tengku Zafrul yang mana keputusan beliau meninggalkan UMNO dan menyertai PKR kira-kira enam bulan lalu adalah didorong oleh prinsip perjuangan politik yang lebih seiring dengan pendiriannya.
Sambil menepis dakwaan kononnya hanya kerana mahu mengejar kedudukan dan jawatan dalam kerajaan, Tengku Zafrul dipetik berkata, langkah meninggalkan UMNO dibuat selepas menilai secara mendalam hala tuju perjuangan parti berkenaan, khususnya di Selangor yang disifatkannya perlu banyak penambahbaikan.
Sementara itu, Nurulhidayah berkata, jawatan di dalam UMNO bukan hiasan, sebaliknya adalah amanah.
Menurutnya, apabila seseorang diberi kepercayaan oleh UMNO untuk memegang jawatan penting khususnya sebagai Senator dan MKT, ia bukan sekadar pangkat atau kedudukan.
Tetapi, ujarnya, ia datang bersama tanggungjawab moral, kesetiaan dasar dan disiplin politik.
“Kita semua berbeza pandangan, tetapi kesetiaan kepada asas perjuangan parti adalah prinsip paling minimum yang perlu dijaga,” katanya.
Sementara itu, Nurulhidayah berkata, apa yang penting ketika ini adalah untuk UMNO membina kembali keyakinan rakyat.
Menurutnya, isu berkaitan penghijrahan Tengku Zafrul itu wajar dijadikan pengajaran bahawa jawatan perlu dipikul dengan kesetiaan dan kejujuran, bukan sekadar untuk tempoh tertentu.
“Saya menyatakan pendangan ini bukan untuk menghukum sesiapa, tetapi untuk menyatakan prinsip (walaupun tiada siapa yang bertanya).
“Kita sama-sama mendoakan, jika benar beliau ingin berjuang di platform baharu agar beliau dapat mulakan perjalanan politik dengan niat yang jujur dan ikhlas dalam meniti sakit manis perjuangan.
“Akhirnya, yang kekal bukanlah nama atau jawatan, tetapi bagaimana kita membawa diri kita untuk berjuang dengan berpaksikan prinsip yang lebih benar,” katanya. – MalaysiaGazette
















