Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah baharu dalam menjaga kebajikan pegawai lantikan kontrak dengan memperkenalkan Bantuan Cuti Sakit Kontrak (BCSK) khusus bagi pegawai secara Lantikan Kontrak Interim (LKI) dan perkhidmatan kontrak (contract of service;CoS).

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, inisiatif ini bertujuan memastikan pegawai yang menghadapi masalah kesihatan serius tetap mendapat perlindungan sewajarnya.

“Pegawai LKI dan CoS yang telah disahkan dan tidak dapat hadir bertugas atas sebab kesihatan, serta memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan, boleh dipertimbangkan untuk menerima bantuan bayaran dengan kadar bersamaan emolumen semasa,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Kon Yeow menekankan, pelaksanaan BCSK menggambarkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap kebajikan pegawai kontrak, selain menzahirkan prinsip tadbir urus berasaskan kesejahteraan, empati dan keadilan sosial dalam pengurusan sumber manusia sektor awam.

Menurut beliau, sejak 1 Januari lalu, dasar pengambilan baharu penjawat awam secara LKI telah diterima pakai selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan.

“Tempoh lantikan LKI adalah selama tiga tahun atau sehingga dasar lantikan tetap baharu berkuat kuasa, mengikut peraturan terdahulu.

“Pegawai LKI dan CoS ketika ini hanya layak menikmati cuti sakit bergaji penuh selama 15 hari setahun, bagaimanapun bagi yang memerlukan tempoh tambahan perlu memohon kebenaran tidak hadir bertugas atas sebab perubatan dan tiada emolumen dibayar bagi tempoh tersebut.

“Dengan inisiatif ini, kerajaan negeri menyediakan perlindungan tambahan kepada pegawai kontrak, sejajar usaha meningkatkan kesejahteraan pekerja sektor awam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast