KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Ruji Ubi berdepan saingan empat penjuru bagi perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17, 29 November ini.
Beliau yang mewakili Pakatan Harapan (PH) berdepan penyandang kerusi berkenaan, Sarifuddin Hata yang mewakili Parti Warisan selain Hasan Haris mewakili Perikatan Nasional (PN) dan calon Parti Impian Sabah (PIS), Rhyme Kassim.
Ruji pernah menjawat jawatan KSU Kementerian Pendidikan dan Perpaduan Negara berharap dapat membantu memajukan DUN Merotai sekiranya terpilih menjadi wakil rakyat.
Katanya, beliau mahu mencurahkan pengalamannya yang luas dalam pembangunan, pengurusan sumber manusia dan pentadbiran demi manfaat rakyat Sabah.
Ruji berkata, pengundi bebas menilai setiap calon berdasarkan kemampuan, visi serta rekod perkhidmatan.
DUN Merotai berada di bawah Parlimen Kalabakan mempunyai 26,179 pengundi pendaftar.
Pada pilihan raya lalu, Sarifuddin memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,587 undi. – MalaysiaGazette
















