KUALA LUMPUR – Selangor FC dihukum bermain tanpa penonton susulan kekecohan melibatkan kelakuan penyokong pada aksi suku akhir kedua Piala FA 2025-26 menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya pada 29 Oktober lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, pasukan itu akan bermain tanpa penonton bagi perlawanan Separuh Akhir 2 Piala FA 2025-2026, Selangor FC lwn Sabah FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Ahad, 30 November 2025.
Seterusnya, perlawanan pertama Selangor FC di gelanggang sendiri bagi pertandingan Piala FA pada musim berikutnya.
Menurutnya, Selangor FC juga didenda sebanyak RM100,000 akibat daripada kesalahan berulang mengikut Artikel 42, Perenggan 1 Kod Tatatertib FAM.
“Selangor FC juga diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.
“Keputusan ini boleh dirayu,” tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.
Menjelaskan hukuman tersebut, Baljit berkata, mesyuarat khas kali pertama bagi penggal 2025-2029 semalam memutuskan Selangor FC didapati bersalah melanggar Artikel 70, Perenggan 1 dan Perenggan 3 Kod Tatatertib FAM bagi pertuduhan 1, 2, 3 dan 4 serta melanggar Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM bagi Pertuduhan 5.
Bagi pertuduhan pertama, pada perlawanan tersebut, penyokong Selangor FC telah melakukan pembakaran mercun dan dianggarkan sebanyak dua kali letupan mercun telah dilihat dan didengari yang dibaling ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC.
Pertuduhan kedua pula, penyokong Selangor FC telah merosakkan dan melontarkan bangku tempat duduk penonton dan membaling botol air ke arah tempat duduk penyokong Negeri Sembilan FC yang telah mengakibatkan kecederaan kepada dua orang penyokong Negeri Sembilan FC.
Manakala pertuduhan ketiga, dari tempat duduk orang kenamaan, seorang VVIP dari pihak Selangor FC telah membaling bekas minuman plastik berisi air ke arah keluarga pemain pasukan Negeri Sembilan FC dan pertuduhan keempat, penyokong Selangor FC telah melakukan provokasi yang mengakibatkan kekecohan di antara kedua-dua penyokong di tempat duduk penyokong.
Selangor FC juga telah didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran dalam pertuduhan kelima. – MalaysiaGazette
















