KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan pengundi Sabah supaya tidak mudah terpedaya dengan retorik politik yang kononnya mampu menunaikan itu dan ini, tetapi akhirnya meninggalkan rakyat selepas mendapat kuasa.
Kata Perdana Menteri, hak rakyat wajib ditunaikan tanpa terpengaruh dengan drama atau permainan politik, justeru rakyat Sabah boleh menilai sendiri siapa yang benar-benar bekerja dan siapa yang hanya tampil saat memerlukan sokongan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan Kerajaan MADANI terus bekerja untuk rakyat termasuk di Sabah, dalam menyelesaikan isu lama seperti bekalan air, elektrik dan capaian Internet yang tergendala atau tidak diselesaikan sepenuhnya sebelum ini.
“Kita memahami bahawa HARAPAN `urang’ Sabah inginkan kehidupan lebih baik, peluang ekonomi lebih luas, dan pembangunan yang seimbang, hatta inilah yang sedang dan akan terus dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI melalui peruntukan negeri, STR, SARA, serta pelbagai inisiatif di bawah Belanjawan 2026,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkongsi berkenaan lawatannya ke Sabah yang mana beliau sempat turun padang ke Program Ramah Mesra Bersama Pemimpin dan Masyarakat DUN Tulid dan bertemu pelbagai lapisan masyarakat dan mendengar sendiri suara serta keperluan mereka. – MalaysiaGazette
















