KUALA LUMPUR – Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP) menggesa kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap penyiaran animasi (kartun) Santiago of The Seas yang didakwa mempunyai karakter songsang dan mempromosi agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) secara tidak langsung.
Ketua Penerangan DUPP, Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan seharusnya mengambil perhatian serius terhadap sebarang penyiaran yang berkait dengan LGBT bagi mengelak budaya songsang tersebut dinormalisasi dalam negara.
Apatah lagi budaya itu mula disasarkan dalam kalangan kanak-kanak sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“DUPP menyarankan agar kerajaan melakukan saringan yang menyeluruh terhadap penyiaran kartun dari luar negara kerana dibimbangi membawa pengaruh LGBT.
“Serangan halus kelompok pendukung LGBT ini semakin sukar untuk dikesan dan meresap secara halus ke dalam pemikiran kanak-kanak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, pengguna media sosial berkongsi kebimbangan berkenaan adegan yang berunsurkan LGBT dalam siri animasi Santiago of The Seas yang kini disiarkan di salah satu saluran televisyen milik kerajaan.
Sementara itu, DUPP berpandangan tindakan memasukkan elemen LGBT dalam siri animasi merupakan strategi jangka panjang untuk merosakkan pemikiran kanak-kanak, sekali gus membentuk komuniti yang akhirnya menerima ideologi tersebut pada masa akan datang.
Tegas beliau, kebejatan moral sebegitu seharusnya menjadi suatu kebimbangan yang perlu dibanteras dengan suatu dasar yang tegas dan tanpa kompromi.
“DUPP turut menggesa kerajaan supaya menumpukan penerbitan kartun dalam negera sebagaimana yang telah ada ketika ini.
“Sewajarnya kita mengambil langkah selamat berbanding menormalisasi secara tidak langsung sesuatu yang boleh merosakkan kanak-kanak dan masa depan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















