Yakubah Khan.

SEPANGGAR – Bahang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 semakin hangat apabila dakwaan demi dakwaan dilemparkan oleh pihak lawan.

Bagi calon Barisan Nasional (BN) Karambunai, Datuk Yakubah Khan turut mengakui ada pihak yang melemparkan tuduhan berkaitan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat pada penggal lalu.

Antara dakwaan tersebut adalah tidak menyalurkan bantuan kepada masjid dan rumah ibadat serta tidak turun padang membantu masyarakat setempat.

“Fokus utama saya adalah untuk terus mendekati rakyat, mendengar masalah mereka dan memastikan usaha pembangunan yang telah dirancang dapat diteruskan jika saya diundi kembali.

“Rekod perkhidmatan saya adalah jawapan terbaik kepada segala tohmahan.

“Saya akan terus bekerja keras,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam satu jelajah kempen, di sini, hari ini.

Jelasnya, masyarakat di Karambunai lebih mengetahui tugasnya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri sebelum ini.

“Mereka guna agama untuk tuduh orang. Saya pula guna kerja saya untuk agama bukan sebaliknya.

“Kepercayaan yang diberi pengundi sebelum ini sudah saya laksanakan sebaik mungkin dan akan terus berbakti buat masyarakat Karambunai mengikut kemampuan.

“Sebagai orang yang sudah masak dengan asam garam politik, sentimen sebegitu sedikit pun tidak memberi impak pada pengundi atau saya.

“Mereka tak tahu nak serang saya macam mana lagi, apa-apapun saya serah pada ALLAH,” katanya lagi.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai pertembungan 11 penjuru, Yakubah berkata, perkara itu hanya perkara biasa yang mahu memecahkan undi.

“Kebanyakan daripada mereka tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

“Tidak tahu datang daripada mana, tapi saya tidak gentar menentang mereka,” ujarnya.

Yakubah berkata, parti lawan banyak menggunakan isu yang tidak sepatutnya sebagai modal berkempen.

“Ada banyak perkara mereka jadikan kempen seperti isu Sabah for Sabahan, parti semenanjung tak sesuai dengan Sabah dan macam-macam lagi.

“Kita tidak boleh menolak peri pentingnya Sabah dan Semenanjung bekerjasama kerana semuanya ada hubung kait.

“Dari segi bantuan dan infrastruktur. Jangan gunakan alasan ini untuk mengetepikn kebenaran, ia hanya memburukkan Sabah.

“Bertandinglah secara sihat dan berikan khidmat terbaik, jangan menggunakan sentiment sebegitu,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast