KUALA LUMPUR – Seramai 95 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Sapu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Pangsapuri Pendamar B, Pelabuhan Klang dekat sini semalam.
Timbalan Ketua Pengarah Operasi JIM, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, serbuan itu dijalankan bermula 8.30 malam melibatkan 78 pegawai JIM Selangor dengan memeriksa seramai 285 individu.
“Daripada jumlah itu 95 PATI ditahan melibatkan warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar dan Nepal berusia lingkungan 16 hingga 50 tahun melibatkan 70 lelaki dan 25 wanita.
“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah tiada tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, pemegang kad yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen,” katanya di lokasi kejadian semalam.

Tambah beliau, sepanjang operasi terdapat pelbagai aksi PATI yang cuba meloloskan diri daripada pegawai dan hasil operasi menunjukkan kawasan itu menjadi tumpuan warga asing tanpa dokumen sah.
Lokman Effendi berkata, susulan itu, kesemua individu yang ditahan akan dibawa ke Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.
“Operasi ini dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” jelasnya.

Ujar beliau, operasi penguatkuasaan seumpamanya akan diteruskan di lokasi panas yang dikenal pasti menempatkan warga asing tanpa dokumen sah.
“Orang ramai dan majikan diingatkan supaya tidak melindungi PATI atau mereka boleh berhadapan dengan tindakan undang-undang.
“Sekiranya mempunyai maklumat tentang PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu penguatkuasaan, salurkan kepada JIM,” katanya. – MalaysiaGazette
















