JOHOR BAHRU – Bandar raya ini memerlukan sistem pengangkutan rel yang berkesan dan bersepadu sebagai langkah persediaan mengatasi kesesakan pada masa depan terutama penduduknya akan mencecah tiga juta menjelang 2030.
Ketua Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Johor, Nornekman Osman berkata, keperluan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) serta pembinaan Aliran Transit Automasi (ART) tidak boleh dilihat hanya berdasarkan angka populasi semasa sekitar 1.8 juta penduduk masa kini.
Beliau memberitahu, Johor Bahru merupakan bandar rentas sempadan yang berkembang pesat dan memerlukan perancangan jangka panjang dan bukan sekadar untuk tempoh masa pendek.
“Sistem rel bandar bukan sekadar projek kos tinggi, tetapi pelaburan jangka panjang untuk tempoh 30 tahun yang mampu menyediakan kapasiti besar, laluan bebas kesesakan, ketepatan masa dan pembangunan berorientasikan transit (TOD).
“Malah, cadangan pembangunan semula infrastruktur pengangkutan seperti Bus Rapid Transit (BRT) seperti mana titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menunjukkan Johor tidak boleh lagi menangguhkan perancangan rel bandar sedangkan negeri lain seperti Pulau Pinang telah memperoleh peruntukan LRT berjumlah RM16 bilion.
“Sebagai pintu masuk ketiga tersibuk di dunia dan pusat pertumbuhan ekonomi yang pesat, Johor Bahru kini berdepan tekanan urbanisasi yang memerlukan pendekatan mobiliti yang lebih menyeluruh, mampu milik dan berkesan.
“Isu utama yang membelenggu rakyat bukan sahaja tambang yang tinggi dan pilihan pengangkutan yang terhad, tetapi juga kesesakan lalu lintas yang semakin kritikal,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kesesakan trafik itu melibatkan laluan utama seperti Jalan Tebrau, pusat bandar, kawasan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar–Bukit Chagar serta zon perumahan padat seperti Austin, Molek dan Skudai.
Jelasnya, hampir 200,000 pergerakan ulang-alik harian antara Johor Bahru dan Singapura turut menambah tekanan terhadap sistem sedia ada, menjadikan keperluan penyelesaian mobiliti moden semakin mendesak dan tidak boleh dipandang ringan.
Dalam konteks ini katanya, penyediaan mini bas bersubsidi mesti menjadi keutamaan segera bagi memenuhi tuntutan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, pelajar, warga emas dan pekerja harian.
Nornekman berkata, mini bas menawarkan tambang rendah serendah RM1 hingga RM2, pas bulanan sekitar RM30 serta fleksibiliti laluan yang membolehkannga menghubungkan kawasan-kawasan perumahan, sekolah, hospital dan pusat industri dengan lebih cepat dan efektif.
Kos pelaksanaan mini bas yang jauh lebih rendah berbanding projek LRT atau ART ujar beliau, menjadikannya penyelesaian paling efisien dalam jangka pendek tanpa membebankan kerajaan.
Namun begitu beliau menegaskan, mini bas bukanlah penyelesaian utama atau jangka panjang kerana masih menggunakan laluan jalan raya yang sama dan tidak mampu mengatasi kesesakan struktur yang semakin parah.
Mini bas hanya akan berfungsi secara optimum jika wujud sistem rel berkapasiti besar sebagai tulang belakang pengangkutan awam negeri, katanya.
“Mini bas hanyalah pengumpan (feeder), manakala RTS, LRT atau ART merupakan sistem utama yang menjamin pergerakan pantas dan tepat waktu tanpa terperangkap dalam kesesakan.
“Tanpa tulang belakang ini, seluruh rangkaian mini bas akan terus bergerak dalam sistem trafik yang sudah tepu dan tidak mampu menangani permintaan mobiliti yang semakin meningkat,” katanya.
Sehubungan itu katanya, Pejuang Johor menggariskan pendekatan holistik bagi jangka pendek dan masa hadapan.
Nornekman memberitahu, langkah segera ialah memperluas pelaksanaan mini bas secara besar-besaran melalui penambahan antara 150 hingga 200 unit baharu, termasuk laluan terus ke RTS, hospital, kawasan industri dan pusat komersial.
Ujarnya, pengukuhan Skim Bas Berhenti-henti (SBST) serta penyediaan tambang rendah dan konsesi percuma kepada golongan sasar turut perlu dilaksanakan.
Tambah beliau, pada masa yang sama, perancangan sistem rel bandar untuk fasa 2027–2035 perlu terus berjalan dengan memberi tumpuan kepada laluan padat seperti Tebrau–CIQ agar pembaziran dapat dielakkan melalui kajian komprehensif.
Kerajaan juga perlu menubuhkan lorong bas khusus katanya, bertujuan memastikan mini bas dan bas tidak terus terperangkap dalam kesesakan yang sama.
Kata beliau, selain itu memperkenalkan langkah pengurusan pertumbuhan kenderaan persendirian seperti zon rendah kenderaan, kawalan parkir dan mekanisme caj kesesakan pada masa hadapan.
“Pejuang Johor percaya bahawa pengangkutan awam mampu milik ialah hak rakyat dan mini bas merupakan penyelesaian terbaik untuk keperluan mendesak hari ini,” katanya.
Namun bagi masa depan sebuah metropolis seperti Johor Bahru katanya, pembangunan sistem rel bandar tidak boleh lagi ditangguhkan.
“Model pengangkutan yang mapan memerlukan gabungan mini bas sebagai penghubung, bas sederhana sebagai laluan utama dan sistem rel sebagai tulang belakang jangka panjang.
“Hanya melalui pendekatan gabungan ini Johor Bahru dapat menangani krisis kesesakan dan bergerak ke arah bandar moden bertaraf antarabangsa.
“Pejuang Johor bersama-sama rakyat untuk pengangkutan awam yang mampu milik, moden dan berkesan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Nornekman Osman
















