ISKANDAR PUTERI – Kerajaan Johor akan mewujudkan garis panduan baharu bagi mengekang kebanjiran peniaga warga asing di kawasan pekan, kampung dan Felda.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, usaha itu dilihat perlu kerana ketika ini dapat dilihat kewujudan kedai warga asing semakin banyak berbanding warga tempatan.
“Apabila kita lihat di kawasan kampung, Felda dan pekan, kedai-kedai runcit orang tempatan semakin hari semakin kurang sebab apa mereka tidak boleh bersaing dengan warga asing yang menjual dengan harga lebih murah.
“Sudah sampai masanya kita buatkan garis panduan yang baru secara hikmah supaya warga asing tidak boleh berniaga di kampung, pekan dan Felda,” katanya.
Mohd Jafni berkata demikian dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Tan Eng Meng (BN–Pekan Nanas) mengenai tindakan yang telah dan sedang dilaksanakan terhadap premis perniagaan yang dimiliki atau dikendalikan oleh warga asing tanpa kebenaran sah.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai itu mendedahkan banyak premis yang didaftarkan atas nama warga tempatan sebenarnya dikendalikan sepenuhnya oleh warga asing.
Ini terutamanya dalam sektor kedai runcit, serbaneka dan pusat cuci kereta, katanya.
Berikutan itu kata beliau, PBT di seluruh negeri memperketat syarat pelesenan bagi mengekang pemindahan pengurusan secara tidak sah.
Secara keseluruhan ujarnya, PBT di Johor terus menguatkuasakan Undang-Undang Kecil Pelesenan, Akta 171 serta peraturan imigresen bagi memastikan hanya pemilik dan pengendali sah dibenarkan beroperasi.
Tambahnya, pemantauan berkala dan pengeluaran notis dipertingkat untuk mengekang pemindahan lesen tidak sah serta penyalahgunaan premis oleh warga asing. – MalaysiaGazette
















