JOHOR BAHRU – Desas desus MIC keluar Barisan Nasional (BN) dan menyertai Perikatan Nasional (PN) menunjukkan wujudnya krisis dalaman yang serius serta hilang keyakinan terhadap hala tuju BN.
Ketua Penerangan Parti Pejuang (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, ini juga menunjukkan kegagalan kepimpinan arus perdana membaca denyut nadi rakyat serta ketidakmampuan BN menyesuaikan diri dengan realiti politik baharu.
“Tindakan MIC ini juga mencerminkan bahawa pengundi India mula mencari wadah yang lebih efektif, relevan dan mampu memberi pembelaan yang konkrit, bukan sekadar retorik pilihan raya.
“Keputusan ini bukan sahaja mengejutkan lanskap politik negara, tetapi juga menjadi isyarat jelas bahawa parti-parti komponen lama semakin hilang keyakinan terhadap hala tuju BN,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, MIC adalah antara parti tertua dalam BN dan apabila sebuah parti dengan sejarah panjang memilih meninggalkan gabungan tersebut, ini menunjukkan kepincangan yang serius.
Beliau berpendapat, walaupun keputusan MIC melihat PN sebagai platform baharu, perpindahan parti itu bukan jaminan kepada penyelesaian masalah rakyat, terutamanya isu ekonomi, kos sara hidup, peluang pekerjaan dan akses perkhidmatan asas.
“Apa yang diperlukan sekarang ialah politik yang benar-benar berteraskan integriti, ketelusan, keberanian membuat reformasi serta keupayaan menyusun dasar yang memihak kepada rakyat dan bukan sekadar permainan strategi gabungan,” katanya.
Pejuang Johor katanya, kekal konsisten sebagai suara reformasi, suara keberanian, dan suara yang tidak tunduk kepada kepentingan politik sempit.
Ahad lalu, media melaporkan Perhimpunan Agung MIC ke-79 menangguhkan keputusan sama ada parti itu keluar atau kekal dalam BN selepas Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan membentangkan tiga usul, termasuk cadangan untuk meninggalkan gabungan berkenaan dan membuat permohonan menyertai gabungan pembangkang.
Pada hari sama, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dipetik sebagai berkata, ketiga-tiga usul termasuk keluar daripada BN telah diterima dan diserahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Vigneswan berkata, MIC kekal memberikan sokongan padu kepada kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga mandat beliau berakhir, tanpa mengira apa jua keputusan politik yang bakal diputuskan. – MalaysiaGazette
















