Fadhlina Sidek.

NIBONG TEBAL – Kementerian Pendidikan (KPM) terus memberi tumpuan kepada pembangunan pendidikan di Sabah, termasuk membaik pulih sekolah daif dan membina sekolah baharu bagi memastikan akses pendidikan murid di kawasan pedalaman tidak terpinggir.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, Sabah antara negeri yang menerima peruntukan tertinggi di bawah belanjawan KPM untuk tujuan itu.

Jelas beliau, beberapa projek khas di bawah KPM, termasuk ‘ProKhas’, sedang dilaksanakan bagi membangunkan sekolah di kawasan yang sebelum ini kurang akses pendidikan.

“Kebetulan minggu lepas saya berada di Sabah untuk melihat perkembangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Trus Madi di Tulid dan saya lihat bahawa dari segi infrastruktur, kita sedang berikan tumpuan penuh.

“Kita melihat keperluan pendidikan, asrama-asrama desa untuk memastikan akses pendidikan sekali gus memastikan anak-anak ini dapat ke sekolah.

“Menerusi ProKhas, sebuah sekolah akan dibangunkan di Kampung Serudung Laut kerana ada keperluan pendidikan dan anak-anak di situ ada yang terpinggir sebelum ini serta tidak mendapat pendidikan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Fadhlina merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal hadir Majlis Penyerahan Aset Sekolah Angkat Madani  Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA) di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap di sini.

Hadir sama, Pengerusi SPA, Datuk Seri Dr. Ahmad Jailani Muhamed Yunus.

Tambah Fadhlina, pihaknya berusaha memastikan tiada murid di Sabah yang terpinggir dengan meneruskan pembangunan sekolah daif serta pembinaan sekolah baharu di kawasan pedalaman.

Jadi, tumpuan pendidikan di Sabah ini ada keutamaannya khususnya untuk sekolah daif dan juga membangunkan sekolah di kawasan yang terpinggir dan di pedalaman bagi memastikan usaha dan inisiatif untuk akses pendidikan untuk anak-anak kita dari semasa ke semasa dapat kita capai dan memastikan tiada siapa yang terpinggir InsyaAllah,” katanya.

SMK Trus Madi di mukim Lanas yang terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid, Sabah dibina dengan kos lebih RM50 juta.

la dilengkapi dengan blok akademik, blok pentadbiran, asrama murid, dewan makan, kantin, kuarters guru, padang permainan dan kemudahan-kemudahan lain. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast