NIBONG TEBAL – Usaha berterusan kerajaan mengatasi kekurangan guru menunjukkan hasil apabila lebih 98 peratus jawatan kini terisi melibatkan 53,000 pelantikan sejak 2022.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kadar pengisian itu membuktikan komitmen kerajaan Madani dalam memastikan setiap kekosongan di sekolah dipenuhi.
Jelas beliau, pengisian guru dilakukan secara menyeluruh dan berterusan, dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) memainkan peranan penting menyediakan tenaga pengajar mengikut keperluan sekolah.
“Sepanjang kerajaan Madani, dari tahun 2022 sampai sekarang, kita sudah mengisi 53,000 jawatan guru, ini bermakna pengisian melebihi 98 peratus.
“Ini komitmen kita..apabila ada kekosongan, kita isi untuk memenuhi keperluan murid.
“Saya ucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan yang sangat memahami keperluan kerana pengisian guru ini akan memberi impak kepada isu lain termasuk mengurangkan beban guru dan PdP yang lebih berimpak dalam kelas serta memberi kesan kepada pendidikan secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap di sini, hari ini.
Tambah Fadhlina, komitmen pengisian itu akan diteruskan, selaras dengan pendekatan menangani kekurangan guru secara berfasa dan mengikut kekosongan terkini.
“Pengisian jawatan guru ini adalah secara back-to-back, maknanya apabila ada kekosongan, kita terus isi.
“Usaha dan komitmen ini akan kita teruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Seramai 52,948 guru baharu telah ditempatkan di sekolah seluruh negara dari tahun 2023 hingga 2025, meliputi 18,792 guru pada 2023, diikuti 13,983 guru pada 2024 dan 20,173 guru pada tahun ini. – MalaysiaGazette
















