SUDAN kini menghadapi salah satu krisis kemanusiaan paling kritikal abad ini, dengan lebih 11 juta rakyat menjadi pelarian dalam negara sendiri. Rumah-rumah musnah, kanak-kanak kelaparan, dan trauma melanda, namun perhatian dunia masih jauh daripada mereka.
Berbeza dengan Gaza yang mendapat liputan dan simpati global, Sudan bergelut dalam keheningan, tanpa sorotan media dan tanpa suara yang menggegarkan dunia.
Negara seperti Sudan memerlukan bukan sahaja bantuan fizikal seperti makanan dan perubatan tetapi juga solidariti, kesedaran, dan komitmen berterusan daripada masyarakat antarabangsa.

Pengalaman Yang Membuka Mata
Pada tahun 2019, seramai 44 sukarelawan di bawah MyCorps Africa telah dihantar ke benua Afrika, meliputi Sudan, Kenya, Tanzania, dan Uganda. Walaupun penempatan kami berbeza, pengalaman ini membuka mata kami terhadap realiti krisis kemanusiaan yang sedang berlaku, khususnya di Sudan.
Kami berada di lapangan selama tiga bulan, hidup bersama komuniti setempat dan mengalami sendiri cabaran harian mereka. Tempoh ini memberi kami perspektif yang dekat dan mendalam tentang kehidupan sebenar masyarakat di sana.
Walaupun kini kami semua telah kembali ke Malaysia, pengalaman itu terus hidup dalam ingatan dan menjadi pendorong untuk bersuara mengenai nasib rakyat Sudan hari ini. Apa yang kami saksikan benar-benar mengubah cara kami melihat dunia.
Banyak komuniti hidup dalam kekurangan yang kritikal dan terpinggir, tanpa akses kepada keperluan asas yang sepatutnya menjadi hak setiap manusia.
Ketiadaan sanitasi yang betul menyebabkan ramai bergantung kepada kawasan terbuka atau kemudahan yang sangat daif.
Akses air bersih hampir tidak wujud, dan ada komuniti yang terpaksa berjalan berjam-jam untuk mendapatkan air dari takungan terbuka yang turut dikongsi dengan haiwan. Banyak keluarga hidup berpindah-randah akibat konflik dan keselamatan yang tidak menentu.
Sepanjang misi tiga bulan, sukarelawan menghadapi cabaran yang hampir sama: berjalan jauh untuk mendapatkan air, hidup tanpa bekalan elektrik stabil, dan berhadapan dengan ketiadaan perkhidmatan asas.

Dahagakan Ilmu Dan Pendidikan
Rata-rata di Afrika, banyak sesi pembelajaran terpaksa dijalankan di bawah pokok atau dalam khemah usang yang hampir roboh. Bahan pembelajaran amat terhad.
Di sebuah sekolah, hampir dua dozen murid berkongsi satu naskhah Al-Quran yang lusuh. Buku teks lain pula koyak, usang, dan jumlahnya jauh tidak mencukupi.
Murid menulis di atas batu, kertas terpakai, atau papan yang diulangguna kerana tiada alat tulis lengkap. Namun, apa yang paling menyentuh hati kami ialah budaya “takaful” yang diamalkan masyarakat di sana.
Walaupun mereka sendiri kekurangan, keluarga yang lebih stabil akan menempatkan pelarian domestik, guru mengajar secara sukarela walaupun tanpa gaji, dan wanita serta kanak-kanak berjalan beribu kilometer demi mendapatkan air yang tercemar.
Semangat untuk saling menjaga dan berkongsi ini tetap hidup di tengah-tengah kesengsaraan dan kemiskinan.
Sudan kini berada dalam krisis yang jarang mendapat perhatian dunia. Terdapat beberapa sebab mengapa ia dianggap “a crisis without cameras.”
Media global lebih mengutamakan konflik yang melibatkan kuasa besar atau
kepentingan geopolitik langsung, menjadikan Sudan kurang mendapat perhatian.
Keselamatan wartawan amat terhad; kawasan bergolak sangat berbahaya, dengan penculikan, pembunuhan, dan keganasan yang berlaku hampir setiap hari.
Tanpa wartawan, tiada gambar, tiada visual, dan media global bergerak dengan visual.

Konflik Bersenjata Yang Tidak Berkesudahan
Konflik yang kompleks dan sukar difahami, melibatkan pelbagai pihak, milisi, suku, wilayah, serta sejarah panjang perebutan kuasa, membuatkan liputan media berkurang.
Tambahan pula, keletihan masyarakat global dengan konflik berpanjangan menyebabkan perhatian, sumbangan, dan liputan media merosot.
Walaupun sering diabaikan, realitinya Sudan bukan krisis kecil. Ia adalah krisis kemanusiaan terbesar di dunia saat ini, dengan lebih 11 juta pelarian dalaman, ratusan ribu pelarian ke negara jiran, kebuluran melampau, sekolah dan hospital runtuh, serta kanak-kanak yang kehilangan nyawa setiap hari.
Dunia sukar merasai penderitaan ini kerana ia tidak disiarkan di media, menjadikannya benar-benar sebuah krisis tanpa kamera. Kehidupan masyarakat Sudan memerlukan bantuan segera.
Jutaan orang, terutama kanak-kanak, berada di ambang kebuluran dan hanya mampu bertahan dengan satu hidangan setiap dua hingga tiga hari. Hospital dan klinik hampir runtuh atau dikuasai kumpulan bersenjata, menjadikan rawatan perubatan asas amat terhad.
Lebih 11 juta orang kehilangan tempat tinggal dan terpaksa tinggal di khemah sementara, bangunan terbiar, kawasan terbuka, atau halaman sekolah. Anak-anak terus belajar di bawah pokok atau khemah runtuh tanpa buku atau seragam.
Semua ini memerlukan bantuan makanan, ubat-ubatan, tempat tinggal, pendidikan, dan advokasi global agar dunia tidak melupakan penderitaan mereka.
Masa Ada Ruang Untuk Membantu Sudan
Malaysian Humanitarian Aid & Relief (MAHAR) kini sedang berbincang dan berkolaborasi dengan pelbagai pihak, termasuk rakan pelaksana tempatan dan antarabangsa, untuk menggerakkan bantuan kecemasan ke Sudan.
Walaupun keadaan di lapangan masih sangat tidak stabil, MAHAR komited mencari laluan selamat agar bantuan sampai kepada komuniti yang paling terjejas.
Selain Sudan, MAHAR juga aktif dalam projek pembangunan di Afrika melalui kerjasama strategik bersama Nasyrul Quran, termasuk Program Wakaf Al-Quran dengan terjemahan Swahili di kawasan pedalaman.
Projek ini memastikan bantuan bukan sahaja berbentuk makanan atau perubatan, tetapi juga ilmu dan pembangunan insan, terutamanya di Kenya dan beberapa wilayah lain.
MAHAR akan terus bergerak bersama rakan NGI di payung Ops Ihsan untuk membantu Sudan dan komuniti terpinggir lain.
Sudan memerlukan dunia untuk tidak memalingkan muka. Ia bukan sekadar angka atau statistik, tetapi jutaan nyawa yang menanti perhatian, solidariti, dan tindakan.
Dunia perlu hadir bukan sekadar untuk melihat, tetapi untuk bertindak. Makanan untuk terus hidup, ubat untuk menyembuhkan, tempat tinggal untuk perlindungan, pendidikan untuk membina masa depan, dan advokasi agar penderitaan mereka tidak dilupakan.- MalaysiaGazette

Tengku Ain Tengku Abdullah, Pengarah Komunikasi MAHAR















