- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC)

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendapati berlaku ketidakpatuhan melibatkan kes seramai 27 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor yang diperiksa Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman di pusat hiburan di ibu negara, 26 April lalu.

EAIC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, kesemua anggota itu dilarang berada di kawasan berisiko tinggi seperti pusat hiburan, rumah urut, pusat atau premis perjudian atau seumpamanya yang boleh menimbulkan syak dan persepsi negatif terhadap organisasi.

Selain itu, katanya, ketidakpatuhan turut dikesan dalam jadual penugasan kerana beberapa orang anggota JIM yang terlibat dalam kejadian tersebut mempunyai arahan tugasan, tetapi didapati berhibur di pusat hiburan tersebut.

Dalam masa sama, ujarnya, berlaku ketidakpatuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) berkaitan dengan siasatan tatatertib oleh pihak JIM berhubung dengan kejadian tersebut.

Sehubungan itu, tambahnya, EAIC mengesyorkan hukuman tatatertib terhadap pegawai yang terlibat di bawah Peraturan 38, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 bagi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan JIM.

“Syor ini dibuat susulan kesalahan tatatertib iaitu cuai dalam melaksanakan tugas, tidak bertanggungjawab, tidak jujur atau tidak amanah,” katanya.

Sementara itu, EAIC dalam langkah penambahbaikan turut mengesyorkan pegawai dan anggota terlibat yang telah berkhidmat di tempat sama melebihi lima tahun, untuk menjalani arahan pertukaran.

Selain itu, katanya, EAIC turut mengesyorkan pelaksanaan penyelarasan dan pemantauan terhadap jadual penugasan serta rekod kehadiran pegawai bagi mengelakkan sebarang tohmahan.

“Turut disyorkan adalah arahan supaya pegawai dan anggota terlibat memastikan pembayaran yang sepatutnya dibuat bagi perkhidmatan yang diterima di pusat hiburan tersebut, bagi mengelakkan sebarang tohmahan rasuah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast