KUALA LUMPUR — Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tidak layak mempertikaikan tema manifesto Perikatan Nasional (PN) ‘Kasi Bagus Sabah’ selepas UMNO-BN didakwa gagal menyelesaikan masalah asas rakyat sepanjang puluhan tahun mentadbir negeri berkenaan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata, sindiran Puad terhadap PN tidak lebih daripada cubaan menutup kelemahan lama yang terus membelenggu rakyat Sabah hingga ke hari ini.
“Selama berdekad-dekad Sabah berada di bawah UMNO-BN, rakyat masih menangis dan menderita. Air tak selesai, jalan rosak, sekolah daif, tanah runtuh setiap musim hujan, projek pembangunan tak pernah siap.
“Semua itu bukan warisan PN, itu legasi pentadbiran lama,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau berkata, tindakan Puad mempersoalkan kemampuan PN ‘membaguskan Sabah’ seolah-olah cuba mengalihkan tanggungjawab daripada pemimpin-pemimpin UMNO-BN yang pernah menguasai negeri itu dalam tempoh panjang.
“Kalau Puad kata Sabah perlu ‘dibikin balik’, dia patut tanya siapa yang memerintah ketika ia sampai ke tahap itu?
“Jangan pandai tuding jari kepada orang lain sedangkan masalah itu bermula di bawah kepimpinan mereka sendiri, kamu ini asyik cari publisiti sahaja duduk depan komputer,” ujarnya.
Sanjeevan turut mempersoalkan kegagalan kerajaan terdahulu menyelesaikan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) walaupun ia menjadi tuntutan paling penting rakyat Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.
“Isu MA63 pun tidak selesai di bawah UMNO-BN. Lupakah Puad siapa yang berkuasa ketika Sabah merayu hak-haknya dipulihkan? Jangan bila dekat pilihan raya baru mahu bercakap soal Sabah, tetapi masa ada kuasa, isu itu dibiarkan begitu sahaja,” ujarnya.
Beliau berkata, kenyataan Puad juga tidak mengambil kira hakikat bahawa kemunduran infrastruktur Sabah bukan sekadar isu pentadbiran, tetapi hasil bertahun-tahun kelewatan pembinaan, ketirisan, dan kekurangan perancangan jangka panjang oleh kerajaan terdahulu.
“Saya berada di Sabah sekarang, turun dari kampung ke kampung. Rakyat ulang benda sama setiap hari air tak ada, jalan teruk, sekolah daif, perumahan terbengkalai, klinik desa jauh dan serba kekurangan.
“Mereka sudah letih dengan janji berpuluh tahun,” katanya.
Sanjeevan berkata, tema ‘Kasi Bagus Sabah’ bukan sekadar slogan politik, tetapi komitmen PN untuk memperbaiki kelemahan yang telah lama dibiarkan berlarutan.
“PN datang dengan pelan kerja yang jelas. Kita mahu selesaikan apa yang kerajaan lama tak buat. Sabah tidak perlukan politik sindiran, Sabah perlukan kerja,” katanya.
Menurutnya, rakyat Sabah semakin matang dan tidak mudah dipengaruhi dengan retorik politik lama yang hanya muncul apabila menjelang pilihan raya.
“Rakyat tahu siapa yang turun bekerja dan siapa yang hanya datang untuk menyindir. Kita datang untuk perbaiki, bukan bercakap besar,” katanya. – MalaysiaGazette
PRN Sabah: Puad sindir manifesto PN, lebih baik `kasi bagus’ Bersatu
















