Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Pengakuan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang kerajaan sedang berusaha merundingkan kembali beberapa perkara dalam perjanjian timbal balik perdagangan (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) mengesahkan kebimbangan beberapa Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) ada asasnya.

Ahli Parlimen Pandan yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, Tengku Zafrul menerusi satu audio siar (podcast) baru-baru ini mengakui kerajaan sedang berusaha untuk merundingkan kembali perjanjian itu.

Beliau yang juga bekas Menteri Ekonomi menambah, ia termasuk klausa yang kontroversi seperti klausa 5.1 berbanding klausa sama dengan Kemboja yang secara jelas melindungi kedaulatan negara itu.

Menurutnya, beliau juga berlapang dada kerana beberapa perkara yang diulas Tengku Zafrul tidak jauh dari saranan-saranan yang pernah dibuat beberapa Ahli Parlimen PKR.

Ujarnya, ia termasuk persoalan kenapa Malaysia perlu tergesa-gesa untuk menandatangani perjanjian itu, yang diakui oleh Tengku Zafrul sebagai satu keputusan politik yang ada risiko tersendiri.

Begitu juga, tambah beliau, dengan saranan Malaysia perlu menyemak dengan negara-negara serantau supaya perjanjian dibuat negara setara, serta supaya tidak sampai sehingga perjanjian Malaysia dilihat terlalu memihak kepada AS berbanding negara-negara lain.

“Saya dan 2 lagi ahli parlimen PKR, YB Setiawangsa Nik Nazmi (Nik Ahmad) dan YB Subang Wong Chen dikecam teruk oleh penyokong kerajaan apabila kami memberikan beberapa saranan untuk melindungi kedaulatan negara akibat dari kesan buruk perjanjian tarif dengan Amerika Syarikat.

“Ada yang suruh keluar parti, ada yang kata kami meroyan sebab kalah pemilihan, ada yang suruh saya jual nasi lemak saja.

“Saya sekarang tunggu apa reaksi cybertroopers kerajaan yang selama beberapa minggu mengecam dan memaki hamun kami, di mana mereka apabila (Tengku) Zafrul sendiri mengesahkan perkara-perkara yang kami utarakan?” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Rafizi menyifatkan masalah timbul apabila komunikasi dan silat politik PKR ‘disubkontrak’ kepada watak-watak yang hanya menyertai PKR selepas parti itu menang.

Dakwa beliau, sebahagian mereka sebelum ini merupakan ahli-ahli parti Pejuang, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sehubungan itu, ujarnya, mereka yang mengkritik itu tidak pernah `hadam’ budaya di dalam PKR yang mana kesetiaan Ahli Parlimen adalah kepada rakyat.

“Jika ada perkara yang membawa risiko kepada rakyat, adalah menjadi tanggungjawab kami untuk bersuara, hatta menegur Perdana Menteri sendiri, tidak kira parti Perdana Menteri itu.

“Semangat inilah yang meletakkan PKR di depan membela rakyat dalam isu-isu besar negara seperti membongkarkan skandal-skandal seperti 1MDB, Tabung Haji, Felda, MARA dan LCS.

“Semangat itu juga yang mendapat sokongan rakyat sehingga menjadikan Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Kalau semangat ini luntur dalam PKR, terutamanya bila ada geng-geng lompat masuk parti yang beriya-iya membodek sehingga isu rakyat tidak boleh dibawa atas alasan jangan kritik kerajaan, lepas ini geng-geng ini kena cari parti baru sebab tak lamalah PKR akan jadi kerajaan,” katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast