MELAKA – Seekor anjing peliharaan berjaya diselamatkan pasukan bomba selepas dipercayai tersepit di dalam mesin kerusi urut di sebuah rumah di Taman Malim Jaya, di sini pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II, Mohd. Shahrom Laji berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.18 pagi.
“Sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah dan enam anggota digerakkan ke lokasi untuk memberi bantuan khidmat khas itu.
“Sebaik tiba, didapati seekor anjing tersepit di dalam mesin kerusi urut di rumah tersebut dan pasukan mula menjalankan kerja-kerja menyelamat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Gambar – Ihsan JBPM Melaka
Beliau berkata, proses menyelamat berjaya dilakukan pada jam 8.34 pagi tanpa melibatkan sebarang kecederaan kepada haiwan terbabit.
Operasi berjaya dikawal sepenuhnya dan pasukan bomba kembali ke balai sebaik operasi ditamatkan enam minit kemudian. – MalaysiaGazette
















