PAPAR – Pengalaman dan hubungan diplomatik yang baik dengan pemimpin-pemimpin dunia menjadi kelebihan kepada Tan Sri Anifah Aman untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N30 Bongawan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Meskipun tidak lagi bergelar Menteri Luar, Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu masih mempunyai hubungan rapat dan istimewa dengan pemimpin berpengaruh dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), Arab Saudi, Qatar dan Oman.
Anifah yang juga bekas Ahli Parlimen Kimanis selama tiga penggal berkata, beliau mahu menggunakan kelebihan itu untuk membangunkan kawasan dan membantu rakyat di DUN Bongawan.
“Saya dapat kuota daripada Raja Saudi dan juga Menteri Luar Saudi. Alhamdulillah setiap setahun ada yang saya naikkan (pengundi) tunaikan haji antara sembilan ke sepuluh jemaah, malah ada kalanya berbelas orang.
“Itu satu keistimewaan, sedangkan ada dalam kalangan mereka ini perlu menunggu sampai 2061.
“Ada juga kebaikannya, tetapi asasnya sekiranya saya diperlukan, saya akan balik ke kawasan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette selepas berkempen dan beramah mesra dengan pengundi di sekitar pekan Bongawan, di sini, semalam.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan menerima pencalonan daripada sembilan calon parti politik yang bakal merebut kerusi DUN Bongawan pada 29 November ini.
Kerusi yang dimenangi Dr Daud Yusof (Warisan) dengan menewaskan Anifah dalam PRN Sabah ke-16 pada 2020 dicabar nama-nama besar termasuk calon Barisan Nasional (BN) yang juga Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin.
Pertandingan di kerusi Bongawan yang mempunyai 24,019 pemilih turut dicabar calon STAR Sabah, Dolores Michael; Ridzuan Firdaus (Perikatan Nasional); Royston Adven (Parti Impian Sabah); Md Haris Md Tahir (Bebas); Peter Matinjal (KDM) serta Hussin Dasar (Parti Perpaduan Rakyat Sabah).

Menurut Anifah, tiada seorang calon parti politik yang bertanding di kerusi Bongawan mempunyai pengalaman dan hubungan diplomatik seperti beliau.
“Apa yang saya maksudkan kalau ada keperluan, tiada seorang pun mempunyai pengalaman dan hubungan yang ada pada saya dan ini saya gunakan kelebihan ini untuk Bongawan.
“Kalau kita tengok calon-calon yang ada, sebahagian mereka dari segi akademik, peguam dan sebagainya, tapi tiada seorang yang mempunyai pengalaman seperti saya (hubungan luar negeri),” katanya.

Ditanya tentang faktor lain untuk menawarkan diri dalam PRN Sabah kali ini, Anifah berkata, beliau terpanggil kerana bertanggungjawab untuk memastikan rakyat Sabah mendapat hak-haknya menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Macam MA63 ini, kita telah lama perjuangkannya, ini termaktub dalam Perlembagaan, ia (kuasa) tertinggi betul tak.
“Tapi apabila ia datang di dunia ini, jadi sunyi, ini di antara yang saya kata mungkin saya patut kembali, walaupun saya tidak terlalu memandang tinggi diri saya,” katanya.

Selain itu katanya, dakwaan beliau tidak mempedulikan kebajikan rakyat di DUN Bongawan selepas tidak lagi bergelar wakil rakyat sejak PRN Sabah ke-16 pada 2020 adalah tidak berasas.
“Sejak saya jadi ahli Parlimen tiga penggal di Kimanis, saya lihat bahawa saya perlu tumpukan masa di kawasan dan ramai yang juga bersuara bahawa seolah-olah saya tidak mengambil kira tentang keadaan dan kedudukan rakyat di Bongawan.
“Ramai yang salah faham, saya tidak pernah kalah pilihan raya Parlimen sini (Kimanis), saya telah dihalau keluar, antaranya kerana saya tak mahu menyertai mana-mana parti, ketika itu saya masih Ahli Parlimen (Kimanis).
“Saya ditawarkan jawatan dan sekarang mereka boleh menafikan, tapi tuhan jadi saksi dan saya katakan tidak, saya mahu tinggal di Sabah.
“Ada juga baru-baru ini saya ditawarkan untuk Washington sebagai Duta Besar yang mempunyai status seperti Menteri supaya boleh mendampingi Amerika Syarikat,” katanya. – MalaysiaGazette
















