TEMERLOH – Seorang pemandu lori ditemukan meninggal dunia dalam trelernya yang diparkir di tepi jalan berhampiran kuari di Kampung Sementeh, Lanchang, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata, mangsa dijumpai duduk tersandar di kerusi pemandu tanpa sebarang kesan kecederaan pada tubuh.
Menurutnya, dalam kejadian 11.45 pagi, mangsa lelaki berusia 38 tahun itu ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pegawai perubatan Klinik Kesihatan Lanchang mengesahkan kematiannya.
“Siasatan awal mendapati lori treler itu mengisi muatan pasir kira-kira 4 petang semalam sebelum diletakkan di lokasi kejadian, tempat biasa pemandu berhenti untuk membersihkannya.
“Keluarga mangsa memaklumkan kali terakhir mangsa dilihat pada 19 November lalu dan lelaki itu mempunyai sejarah penyakit kencing manis serta mengambil ubat untuk rawatan penyakit itu.
“Mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, setakat ini tiada unsur jenayah ditemui dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
Bagaimanapun siasatan lanjut punca sebenar kematian akan diketahui setelah sesi bedah siasat selesai dijalankan.- MalaysiaGazette
















