KOTA TINGGI – Operasi mengangkat lori yang terbalik dan terbakar di Kilometer 26, Jalan Lok Heng-Mawai, di sini, semalam menemukan satu lagi mayat yang sudah rentung.
A Komala, 45, merupakan seorang wanita dan mangsa kedua dalam kemalangan tragis tersebut yang ditemui bawah lori berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, mangsa tersebut dipercayai merupakan kakak angkat mangsa pertama, R Sasitharan, 38, yang memandu lori berkenaan.
“Pada tengah malam kelmarin, dimaklumkan oleh keluarga mangsa, terdapat seorang lagi mangsa bersama-sama pemandu lelaki tersebut iaitu wanita yang merupakan kakak angkatnya.
“Kira-kira 4.30 petang semalam mayat penumpang tersebut telah berjaya dikeluarkan dan dibawa ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu seorang lelaki dilaporkan rentung selepas lori dipandu terbakar dan dalam kejadian pukul 4.35 petang kelmain.
Pada awalnya pihak polis mengeluarkan kenyataan akhbar memaklumkan hanya Sasitharan ditemui rentung dalam kemalangan tersebut.
Yusof berkata, kemalangan tersebut melibatkan lori jenis Volvo yang dipercayai terbabas sendiri sebelum terjunam ke dalam gaung dan terbakar.
Katanya, mangsa yang memandu lori mengalami kecederaan parah akibat kebakaran melibatkan keseluruhan badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.- MalaysiaGazette
















