KOTA KINABALU – Barisan Nasional (BN) menawarkan pendidikan tinggi secara percuma kepada pelajar-pelajar dalam kalangan B40 sekiranya diberi mandat semula dalam Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Bendahari BN Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, inisiatif itu terpakai di institusi pengajian tinggi tempatan milik Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau berkata, bagi tujuan itu, BN Sabah menawarkan Skim Ikhlas iaitu pemberian insentif (one-off) sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 kepada anak-anak Sabah yang melanjutkan pengajian tinggi.
“Insentif itu terhad kepada pendidikan di peringkat diploma dan ijazah sarjana muda di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS),” katanya, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau membentangkan Manifesto BN Sabah dengan tema Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) di bangunan UMNO Sabah.
Turut hadir Pengerusi BN, Datuk Seri Salleh Said Keruak dan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Menurut Salleh, BN Sabah juga menawarkan insentif tambang tiket kapal terbang (Gradwings) maksimum RM1,000 secara one-off.
“Insentif ini diberikan kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran di Semenanjung, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Selain itu, katanya, BN juga menawarkan kad siswa bernilai RM500 setahun kepada pelajar Sabah.
“Ia sebagai insentif bantuan pembelian alat tulis, buku, laptop dan yuran pengajian.
“Manakala bagi anak berusia lima dan enam tahun pula, BN menawarkan Skim Bantuan Yuran Tadika Anak Sabah (INTAN) berjumlah RM300 setahun,” katanya. – MalaysiaGazette
















