KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan sebanyak 23 tindakan sitaan ke atas peralatan mobilegrapher dalam operasi terhadap jurugambar haram di sekitar KLCC dan Pintasan Saloma.
Selain itu, DBKL turut mengeluarkan sebanyak 23 notis kompaun di bawah UUK 3(1) Undang-Undang Kecil Perlesenan Penjaja (WPKL) 2016 terhadap penjaja air tanpa kebenaran dalam operasi di lokasi sama.
Turut diambil tindakan ialah satu kes penjaja air tolak tanpa lesen yang turut disita di bawah peruntukan undang-undang sama.
DBKL dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, tindakan tegas itu diambil dalam operasi bersepadu yang digerakkan oleh Skuad KL Strike Force dengan penglibatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Operasi itu dijalankan bagi memastikan kawasan tumpuan pelancong tersebut kekal teratur, selamat dan bebas daripada aktiviti yang mengganggu ketenteraman awam.
“Kehadiran PDRM dan JPN dalam operasi ini turut memperkukuh aspek keselamatan, pengesahan identiti serta pematuhan undang-undang oleh semua individu di lokasi,” katanya.
Sementara itu, DBKL menyeru orang ramai supaya mematuhi peraturan, tidak menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen dan menghormati ruang awam demi memastikan Kuala Lumpur kekal aman, teratur dan selesa untuk semua.
Ujarnya, tindakan tegas akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa tanpa kompromi.
Sebelum ini, tular di laman sosial berkenaan aktiviti jurugambar bebas di sekitar KLCC dan Pintasan Saloma yang mengenakan caj untuk merakam gambar di lokasi terbabit, sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dan rungutan dalam kalangan pelancong. – MalaysiaGazette
















