Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bongawan, Tan Sri Anifah Aman.

KUALA LUMPUR – Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Dun Bongawan, Tan Sri Anifah Aman  menegaskan cadangan mewujudkan Hab Minyak dan Gas (O&G) di kawasan itu bukan janji pilihan raya.

IUa sebaliknya satu pelan pembangunan ekonomi yang telah pun menarik minat awal pelabur antarabangsa dan disokong potensi sebenar industri tenaga Sabah.

Kata mantan Ahli Parlimen Kimanis itu, perancangan tersebut dirangka berdasarkan kajian keperluan industri serta kekosongan ruang pertumbuhan baharu selepas Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) mencapai kapasiti optimum.

Ia sekaligus membuka peluang kepada kawasan berhampiran seperti Bongawan untuk bangkit sebagai pusat industri hiliran seterusnya.

Anifah yang juga bekas Menteri Luar berkata, minat yang disuarakan oleh pelabur dari Qatar menunjukkan keyakinan luar terhadap prospek jangka panjang kawasan tersebut.

“Tambahan pula hubungan diplomatik yang dibina sepanjang saya berada dalam kerajaan Persekutuan selama sembilan tahun sebelum ini memberi laluan kepada kerjasama ekonomi yang lebih meluas.

“Ada pihak yang kritik kononnya projek hab itu sekadar retorik politik adalah tidak berasas kerana perancangannya tidak bergantung kepada Petronas semata-mata.

”Sebaliknya disokong pelabur asing yang sedang mencari lokasi baharu bagi pengembangan sektor tenaga dan industri sokongan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anifah menegaskan, pembangunan hab tersebut mampu membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada penduduk setempat dalam bidang kejuruteraan, fabrikasi, operasi loji, penyelenggaraan industri serta logistik.

”Ini juga limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, sektor perkhidmatan, perumahan dan pengangkutan.

“Agenda ini penting untuk memperkukuh struktur ekonomi Bongawan, tetapi juga untuk mengangkat kawasan itu sebagai sebahagian daripada rangkaian pembangunan tenaga negeri yang lebih besar, sekali gus memastikan anak muda tidak lagi perlu berhijrah ke daerah lain untuk mencari pekerjaan bergaji tinggi,” ujarnya.

Menurutnya, usaha tersebut merupakan komponen utama manifesto GRS di Bongawan dan menzahirkan matlamat untuk menjadikan kawasan itu pusat pertumbuhan baharu yang mampu menarik pelaburan jangka panjang serta menyediakan peluang ekonomi lebih stabil kepada penduduk.

“Kita mahu pembangunan ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Bongawan bukan sekadar slogan pilihan raya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast