BUKIT MERTAJAM – Empat lelaki direman selama tiga hari bagi membantu siasatan kes tetak seorang pemuda di sebuah kedai makan di Kampung Permatang Tinggi di sini, pada Jumaat lalu.
Perintah reman terhadap suspek berusia 23 hingga 43 tahun iu dikeluarkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit bermula hari ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, keempat-empat suspek itu tiba di pekarangan mahkamah jam 8.40 pagi dengan berpakaian lokap polis serta diiringi pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah.
MalaysiaGazette difahamkan, dalam kejadian jam 9.30 malam pada Jumaat lalu, mangsa berusia 22 tahun dikatakan baru selesai makan bersama kekasih dan rakan lelakinya di premis berkenaan sebelum didatangi sekumpulan lelaki menaiki sebuah kereta.
Mereka kemudian bertindak menyerang sebelum menetak bahagian kiri leher mangsa dipercayai menggunakan senjata tajam hingga menyebabkan dia mengalami kecederaan parah.

Kurang enam jam selepas kejadian, pihak polis berjaya menahan kesemua suspek dalam tiga lokasi berasingan di negeri ini dan Perak.
Difahamkan, kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.
Motif kejadian masih dalam siasatan pihak polis.
Terdahulu, tular beberapa rakaman video serta gambar menunjukkan seorang lelaki berlumuran darah dibantu orang awam susulan dipercayai ditetak menggunakan parang. – MalaysiaGazette
















