TUARAN – Slogan “Sabah for Sabahan” dan persepsi kononnya Barisan Nasional (BN) adalah parti luar tidak berjaya memanaskan suhu politik mahupun menjejaskan keyakinan rakyat sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, walaupun isu itu cuba dimainkan pihak tertentu sebelum proses kempen bermula, namun ia seolah-olah tenggelam dan tidak mendapat sambutan daripada rakyat Sabah.
“Saya yakin parti-parti politik sedia ada pun semakin matang, walaupun sebelum ini kita mendengar seolah-olah dengar ada ketegangan, isu Sabah for Sabahan, tetapi saya perhatikan ia bukan menjadi isu utama.
“Sebelum itu (penamaan calon) ya, dalam berkempen ini saya tak nampak sangat perkara ini menjadi isu panas dan tegang, walaupun masih ada yang menyebutnya,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Pada 19 Oktober lalu, Pengerusi BN Sabah, Datuk Bung Moktar Radin menasihati pengundi negeri itu supaya tidak lagi terpedaya dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ atau parti tempatan.
Bung berkata, parti tempatan sering menjadikan slogan itu sebagai umpan politik untuk menarik undi rakyat Sabah.
Selain itu, Puad berkata, hanya segelintir politikus yang menunggang slogan Sabah for Sabahan demi meraih undi.
“Sebenarnya orang-orang tertentu sahaja nak mainkan isu ini, tapi rakyat keseluruhannya pada saya mereka lebih cerdik dan bijak, bukan memilih wakil rakyat tetapi memilih kerajaan yang boleh kotakan janji.
“Ada yang tamat tempoh, bahawa isu itu sebenarnya isu itu berlebihan kepada mereka, itu keyakinan saya,” katanya.
Menurut Puad, sepanjang empat hari beliau mengikuti calon BN berkempen, tiada satu pun calon-calon lawan bertindak agresif dan menyerang dengan menimbulkan provokasi melampau.
“Kita pun bila berjalan ke mana-mana, kita jumpa lawan kita daripada parti lain, kita tetap bertegur sapa, tiada boo (provokasi) dan sebagainya.
“Inilah yang saya kata ketenangan dan mungkin senario politik yang berubah itu menyebabkan keadaan ini berlaku bahawa mahu tidak mahu kena ada kerajaan kerjasama untuk membentuk kestabilan politik khususnya di Sabah,” katanya.
Ketika ditanya tentang mood pengundi ketika tempoh berkempen hanya berbaki empat hari, Puad berkata, kebanyakan pengundi yang ditemui mendambakan perubahan khususnya dalam menambah baik infrastruktur Sabah.
“Saya fikir semua nakkan perubahan, sebab itu menyedari hakikat ini, BN juga membuat tawaran, BN juga mengemukakan manifesto.
“Manifesto ini kita harap rakyat dapat membuat perbandingan, iaitu mana manifesto terbaik dan siapa diyakini boleh kotakan janji.
“Masing-masing sudah ada pengalaman jadi kerajaan, baik GRS, Warisan, BN, PH mahupun PN, jadi tengok rekod prestasi, selain membandingkan manifesto kita.
“Kita tidak boleh anggarkan dan saya juga tidak akan memandang rendah, bahkan BN tidak akan memandang rendah kebijaksanaan rakyat di Sabah untuk membuat keputusan terbaik untuk mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















