KUALA LUMPUR – Terdapat kesukaran untuk mengambil tindakan terhadap pemilik tanah yang menyewakan tapak sawah padi mereka untuk diusahakan oleh warga asing.
Ini kerana, menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu, aspek penyewaan tapak sawah padi kepada warga asing itu tidak didokumentasikan secara rasmi oleh pemilik tanah tersebut.
Selain itu, jelas beliau, secara umumnya juga, isu tanah adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Berhubung isu kebanjiran warga asing, kementerian tidak menafikan bahawa terdapat warga asing yang diupah oleh pemilik tanah bagi melaksanakan kerja-kerja seperti menabur benih, membaja, meracun, menuai, melakukan semaian padi serta mengusahakan tanaman kontan di kawasan sawah.
“Kebanjiran warga asing dalam isu ini memerlukan penyelesaian tadbir urus yang teliti dan melibatkan kerjasama rentas kementerian,” katanya pada sesi jawapan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Mohamad (PH-Kota Raja) menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) berkenaan langkah KPKM dalam menangani isu kebanjiran warga asing yang yang menyewa dan mengusahakan sendiri sawah padi atau tanaman kontan di beberapa lokasi terutama di Tanjong Karang.
Sementara itu, menjawab isu kemerosotan hasil padi khususnya di Selangor tahun lalu berbanding tahun-tahun sebelumnya, Mohamad berkata, ia berpunca daripada beberapa faktor termasuk serangan perosak.
Selain itu, ujar beliau, pengeluaran hasil padi juga berkurangan disebabkan fenomena kemarau, ribut dan banjir yang semakin ekstrem yang menjejaskan kestabilan pengeluaran.
Dalam masa sama, jelasnya, keadaan infrastruktur pengairan yang usang serta kebergantungan sepenuhnya kepada Sungai Bernam sebagai sumber bekalan air utama menimbulkan cabaran besar dalam usaha memastikan kelestarian pengeluaran padi.
Sehubungan itu, tambah Mohamad, bagi menangani isu penyusutan hasil padi, beberapa langkah telah diambil oleh KPKM antaranya memperkasa aktiviti pengembangan di lapangan bagi memastikan teknologi, amalan terbaik dan maklumat terkini dapat disampaikan secara berkesan kepada pesawah serta komuniti pertanian.
“Selain itu, KPKM turut memberi pendedahan kepada pengurusan risiko penyakit dan iklim seperti menggalakkan amalan pertanian lestari dan pengurusan sawah yang cekap,” katanya. – MalaysiaGazette
















