Keadaan banjir di sekitar Shah Alam berikutan hujan berterusan sejak awal pagi tadi ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette di sekitar Selangor. Foto AIZAT ZAINAL, 24 NOVEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Mangsa banjir terus diberi perhatian oleh pihak bank dengan menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk penangguhan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan bagi membolehkan  pelanggan membaik pulih rumah serta perniagaan mereka.

Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM) dalam kenyataan bersama hari ini berkata, industri perbankan komited untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh individu dan perniagaan selain memastikan akses berterusan kepada perkhidmatan perbankan.

Menurut kenyataan itu, pihak bank turut mengetepikan bayaran untuk penggantian dokumen dan kad yang rosak, menyediakan kemudahan bantuan dan penyesuaian untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta menawarkan pertukaran wang kertas yang rosak.

“Pelanggan digalakkan menghubungi bank masing-masing melalui saluran rasmi iaitu cawangan bank, laman web, platform perbankan dalam talian dan akaun media sosial untuk mendapatkan maklumat yang dipercayai mengenai bantuan yang ditawarkan.

“Pelanggan turut dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada terhadap penipuan dan mengelak daripada terbabit dengan pihak yang mendakwa mewakili bank,” katanya.

Mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh merujuk kepada senarai bank anggota di laman web rasmi ABM dan AIBIM.

Menurut ABM dan AIBIM, bank anggota mereka akan terus mengambil langkah perlu untuk memastikan akses kepada perkhidmatan perbankan penting di semua lokasi yang terjejas, dengan maklumat terkini akan dikeluarkan melalui saluran komunikasi rasmi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast