Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor berucap pada Temu Rapat Dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Sulaman, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 27 NOVEMBER 2025.

TUARAN – Krisis bekalan air di Sabah sudah lama berlaku sebelum Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan negeri pada 27 September 2020.

Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, masalah bekalan air pada hari ini diwarisi daripada pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Kita warisi masalah air ini bukan masa GRS yang ambil kerajaan ini, baru ada masalah air.

“Ini masalah air daripada dia orang dulu (Warisan). Dia orang jadi kerajaan, dia orang tidak buat, sekarang pusing itu cerita.

“Pandai fitnah, pandai bohong. Itulah pemimpin-pemimpin di sebelah sana. Jadi saya harap rakyat kita jangan terpengaruh.

“Jangan percaya cakap mereka. Ini kita menentukan masa depan Sabah,” katanya berucap pada majlis Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran, di sini, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor pada Temu Rapat Dengan Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 di Dewan Kebudayaan Bajau Samah, Sulaman, Sabah. Foto MOHD ADZLAN, 27 NOVEMBER 2025.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hajiji berkata, masa depan Sabah ditentukan dengan kerjasama yang erat antara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan.

Jadi hasilnya bagus. Inilah kerana kita ada hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ini kita mesti mahu teruskan. Kerana kalau Sabah mahu maju ke depan, mahu membangun hubungan baik negeri dan Persekutuan mesti rapat dan dikekalkan.

“Ini dia punya resipi. Yang lain itu dia pandai cakap saja,” katanya.

Hajiji turut melahirkan rasa kesal ada pihak yang cuba melaga-lagakan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan.

“Sikit-sikit mahu gaduh dengan Persekutuan. Apa mahu gaduh? Ini negara kita. 

“Di samping kita memperjuangkan kepentingan Sabah, kita mesti jaga juga kepentingan negara.

“Ini negara kita. Jangan fikir negara kita runtuhkan. Mana boleh begitu. Ada juga begitu di Sabah ini,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast