BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menangguhkan prosiding pendakwaan terhadap buruh binaan warga Myanmar yang berdepan tiga pertuduhan, termasuk membunuh seorang tukang masak wanita kerana tidak puas hati makanan yang dihidangkan tidak sedap, pada 16 November lalu.
Penangguhan dibuat susulan tertuduh, Ayecho, 30, memaklumkan mahkamah bahawa dia hanya memahami sedikit bahasa Melayu dan memerlukan jurubahasa bagi membolehkan pertuduhan dibacakan dengan jelas kepadanya.
Selain pertuduhan bunuh, lelaki itu juga berdepan pendakwaan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki warga Myanmar mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan pertuduhan tidak memiliki pas sah untuk memasuki negara ini di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Majistret Roshayati Radellah kemudian menetapkan 16 Disember depan untuk lantikan jurubahasa bagi membolehkan kesemua prosiding pertuduhan diteruskan.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen Butterworth, Hakim Roslan Hamid menetapkan 15 Januari depan bagi lantikan jurubahasa terhadap tertuduh atas pendakwaan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah ke atas seorang lagi lelaki Myanmar menggunakan sebilah pisau.
MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan pertengkaran antara seorang tukang masak warga Myanmar dengan pelanggannya selepas makanan yang dihidangkan didakwa tidak sedap berakhir dengan tragedi apabila wanita berkenaan maut ditikam di sebuah restoran masakan ala Thai di Lorong Bukit Juru di sini, pada 16 November lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam, mangsa berusia lingkungan 40-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan.
Manakala suaminya, yang juga warga Myanmar berusia lewat 40-an cedera pada anggota badan, sementara seorang lagi lelaki yang merupakan rakan suspek turut mengalami kecederaan akibat ditikam dalam kejadian sama.
Susulan itu, polis menahan tiga lelaki warga Myanmar termasuk suspek utama serta abangnya bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette
















