KUALA LUMPUR – Peguam kepada M Indira Gandhi, Rajesh Nagarajan mempersoalkan beberapa kenyataan Ketua Polis Negara (KPN), Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berhubung kemajuan siasatan kes kehilangan anak bongsunya, Prasana Diksa serta keberadaan bekas suami, Muhammad Riduan Abdullah.atau nama asalnya K. Pathmanathan.
Rajesh berkata, kenyataan KPN bahawa individu lain mungkin menggunakan identiti Pathmanathan menimbulkan kebimbangan kerana ia dibuat tanpa penjelasan mengenai bukti atau hasil siasatan yang kukuh.
Beliau berkata, langkah asas seperti semakan rakaman CCTV dan jejak transaksi sepatutnya telah diselesaikan lebih awal memandangkan kes itu sudah berlarutan lebih 16 tahun.
“Kita juga persoal tentang kenyataan KPN status Sekatan Perjalanan Khas (SPK) ke atas Pathmanathan yang pada kami bercanggah dengan semakan rekod Jabatan Imigresen yang tidak menunjukkan wujudnya sebarang notis atau amaran perjalanan,” katanya menerusi kenyataan.
Tambah Rajesh, perkembangan terbaru yang melibatkan campur tangan Mahkamah Tinggi Ipoh, yang mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) meluaskan liputan siasatan melangkaui satu negeri, turut menimbulkan persoalan mengenai pendekatan penyiasatan sebelum ini.
“Meskipun polis menyatakan telah menjalankan 18 pengurusan kes, arahan mahkamah menunjukkan keperluan tindakan lebih menyeluruh dan tidak terhad kepada satu lokasi sahaja,” ujarnya
Semalam, Khalid Ismail berkata, pihaknya sedang menyiasat lanjut terhadap dakwaan kewujudan individu yang disyaki menggunakan identiti Muhammad Riduan Abdullah bagi menerima pelbagai bentuk bantuan kerajaan seperti Budi 95 dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara).
Pada 2009, Muhammad Riduan menukar agama tiga anak mereka kepada Islam tanpa persetujuan Indira Gandhi dan memohon hak penjagaan melalui Mahkamah Syariah.
Pada 29 Jan 2018, Mahkamah Persekutuan telah memutuskan bahawa penukaran agama ketiga-tiga anak kepada Indra Gandhi oleh bekas suaminya Muhammad Riduan adalah batal dan tidak sah.
Mahkamah Persekutuan juga mengarahkan KPN menangkap Muhammad Riduan kerana mengingkari perintah Mahkamah Tinggi supaya menyerahkan anak perempuan bongsunya kepada bekas isterinya. -MalaysiaGazette
Usaha mengesan bekas suami Indira Gandhi giat dijalankan – KPN
















