KUALA LUMPUR – Ketegangan politik kembali memuncak apabila perjanjian ART Malaysia–Amerika menjadi polemik baharu yang menambah senarai isu yang membebankan rakyat dengan sesetengah pihak mendakwa ia berisiko menjejaskan kedaulatan negara jika tidak dibatalkan dalam tempoh 30 hari lagi.
Presiden Parti Pribumi Perkasa Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, walaupun bantahan kian meluas termasuk daripada beberapa ahli Parlimen kerajaan sendiri, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setakat ini belum menunjukkan sebarang tanda untuk menarik semula penyertaan Malaysia dalam perjanjian tersebut.
Menurutnya, perjanjian ART dikatakan menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan Malaysia kehilangan kawalan strategik negara bukan melalui konflik ketenteraan tetapi melalui keputusan eksekutif yang didakwa dibuat tanpa penelitian legislatif sepenuhnya.
“Antara bantahan utama ialah dakwaan bahawa ART menunjukkan ciri executive overreach iaitu apabila Perdana Menteri dikatakan memasuki perjanjian besar yang memberi kesan jangka panjang kepada negara tanpa proses kelulusan Parlimen.
“Tindakan sebegitu, menurut pengkritik boleh dikategorikan sebagai melangkaui had kuasa Perlembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim mendakwa, ART memenuhi lima elemen dalam doktrin State Capture Agreement (SCA) seperti berlaku di beberapa negara yang berdepan kesan liabiliti dan kawalan entiti luar melalui perjanjian ekonomi.
Menurut pandangan itu, kata beliau Malaysia berisiko mengikuti jejak sama jika ciri-ciri yang dibimbangi benar wujud dalam ART.
“Pembangkang juga mendakwa PMX telah melanggar prinsip ketatanegaraan seperti Non-Delegation of Sovereignty jika ART benar ditandatangani tanpa praratifikasi Parlimen atau penelitian Majlis Raja-Raja.
“Mereka menyifatkan hal tersebut sebagai pelanggaran serius terhadap beberapa doktrin perlembagaan negara,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata, beberapa pihak mendakwa ART berpotensi menjejaskan struktur persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 76, 80, 93, 94 dan 96 Perlembagaan Persekutuan, khususnya jika perjanjian itu memberikan akses luas kepada data strategik, fiskal atau kawal selia ekonomi negara.
Tambahnya, kebimbangan lain yang dibangkitkan ialah kemungkinan wujudnya unsur Strategic Dependency Syndrome (SDS) iaitu keadaan apabila negara terlalu bergantung pada entiti luar untuk keputusan strategik negara.
“Para pengkritik mendakwa ia boleh membawa Malaysia ke fasa post-sovereign governance. Kritikan turut membandingkan perjanjian tersebut dengan piawaian antarabangsa yang digunakan NATO dan Kesatuan Eropah yang lazimnya mengelakkan perjanjian yang membuka ruang kepada risiko kawalan asing ke atas infrastruktur strategik.
“Justeru, persoalan timbul mengenai justifikasi Malaysia untuk menandatangani ART,” kata Ibrahim.
Beliau menjelaskan, pembangkang mendakwa sehingga kini Perdana Menteri belum memberi penjelasan mendalam mengenai kandungan penuh perjanjian itu dan sikap berdiam diri kerajaan hanya menambah keraguan dalam kalangan rakyat mengenai implikasi sebenar ART.
Susulan itu tegasnya, Putra mengemukakan tiga tuntutan utama iaitu pendedahan penuh dokumen ART, penubuhan National Sovereignty Forensic Taskforce (NSFT) dan penggantungan serta-merta semua rundingan berkaitan perjanjian tersebut.
Ibrahim menegaskan, ART bukan sekadar dokumen ekonomi tetapi berpotensi menjadi mekanisme yang boleh menjejaskan kuasa negara jika dakwaan-dakwaan yang dibangkitkan itu benar. Beliau menyifatkan isu itu sebagai “perjanjian eksekutif tanpa mandat” yang mesti dibantah.
“Putra menggesa rakyat bangkit menyuarakan bantahan agar perjanjian tersebut dibatalkan sebelum tempoh 30 hari berakhir, dengan amaran bahawa kegagalan berbuat demikian akan membawa implikasi besar terhadap kedaulatan negara,” dakwanya. – MalaysiaGazette
















