ALOR GAJAH – Seorang anggota tentera maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah pikap polis yang rosak dan berhenti di lorong kecemasan Kilometer 198.3 Lebuhraya PLUS arah selatan dekat Ayer Keroh tengah hari tadi.
Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, mangsa, Mohd Firdaus Ghani, 37, dari Kem Terendak, Masjid Tanah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, kejadian berlaku berlaku ketika Toyota Hilux pasukan Polis Diraja Malaysia dipandu seorang anggota polis berusia 39 tahun berhenti di lorong kecemasan selepas mengalami kerosakan enjin.
“Siasatan awal mendapati, mangsa yang datang dari arah sama, Kuala Lumpur ke Melaka kemudian dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang kanan Hilux berkenaan.
“Mangsa yang parah di kepala kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas kesihatan dan mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat,” katanya.
Tambahnya, orang awam yang mempunyai maklumat tambahan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Loh Gia Xao, di talian 019-538 2353 bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















