MELAKA – Taktik lapuk sindiket penyeludupan rokok mengaburi mata pihak berkuasa dengan mengisytiharkan hampir 10 juta batang rokok seludup sebagai bahagian perabot gagal apabila ditumpaskan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Melaka, bulan lalu.
Pengarah Kastam Negeri Melaka, Bakri Abd. Rahman berkata, helah itu berjaya dikesan hasil risikan pihaknya pada 31 Oktober lalu yang membawa kepada rampasan keseluruhan termasuk cukai berjumlah RM7.3 juta di Pelabuhan Barat Klang, Selangor.
“Kontena berkenaan ditahan pada 31 Oktober lalu sekitar jam 12.05 tengah hari oleh sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Melaka.
“Pemeriksaan awal terhadap dokumen manifest mendapati dagangan diisytihar sebagai “850 cartons furniture parts”, namun menemui 850 kotak berisi 9,794,000 batang rokok seludup,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, taktik menggunakan barangan perabot sebagai penyamaran semakin kerap dikesan kerana ia dianggap selamat oleh sindiket untuk mengelak pemeriksaan terperinci.
“Modus operandi sindiket adalah membuat pengisytiharan tidak betul dengan menyamarkan kontena sebagai muatan bahagian perabot.
“Ia satu helah yang cuba mengeksploitasi dagangan umum bagi mengaburi pemeriksaan kastam,” tambahnya.
Beliau berkata, nilai rokok yang dirampas dianggarkan RM783,520, manakala jumlah duti serta cukai yang terlibat mencecah RM6.54 juta.
Rokok turut diklasifikasikan sebagai barang larangan di bawah Butiran 66, Jadual Ketiga / Bahagian I, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman berat termasuk denda antara 10 hingga 20 kali nilai barang atau penjara sehingga lima tahun,” jelasnya.
JKDM menyeru orang awam supaya terus membantu memerangi penyeludupan rokok, minuman keras, mercun, dadah dan barang larangan lain dengan menyalurkan maklumat kepada Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat.
Identiti pemberi maklumat adalah dirahsiakan. – MalaysiaGazette
















