Dawai serta tembaga yang berjaya dirampas daripada tiga lelaki di sebuah kebun pisang di Jalan Kluang- Renggam, Kluang, kelmarin.

KLUANG – Polis menangkap tiga lelaki di sebuah kebun pisang di Jalan Kluang-Renggam, dekat sini, kerana dipercaya mencuri kabel di sebuah kebun durian di Taman Kluang Barat, dişini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, tiga lelaki berusia antara 27 hingga 33 tahun itu berjaya ditahan hasil laporan daripada seorang lelaki yang mengadu tentang kecurian kabel di kebun durian tersebut.

“Semua saspek ditahan pada pukul 3 petang kelmarin melalui serbuan sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang.

“Hasil daripada tangkapan itu, polis berjaya merampas satu longgok dawai besi, satu longgok tembaga (kabel), dua guni mengandungi dawai dan besi, satu alat pemotong kabel yang telah diubah suai dan enam bilah pisau pelbagai saiz dengan anggaran berharga sekitar RM1,200,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, hasil semakan mendapati semua tangkapan mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah namun saringan air kencing negatif dadah.

Menurut Bahrin lagi, kes akan disiasat mengikut Seksyen 431 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tempoh dua tahun dan denda jika sabit kesalahan.

“Ketiga-tiga tangkapan kini ditahan reman selama empat hari bermula semalam hingga 2 Disember untuk membantu siasatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast