KUALA LUMPUR – Selebriti dan aktvitis, Rafidah Ibrahim bersama tiga individu yang ditahan selepas cuba mencetuskan kekecohan pada majlis pecah tanah Kampung Sungai Baru di sini telah dibebaskan dengan jaminan polis semalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, keempat-empat individu terbabit awalnya telah ditahan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 105 Kanun Prosedur Jenayah sebagai langkah pencegahan.
“Kita telah beri jaminan semalam. Apa-apa sahaja program yang dibuat di dalam negara kita ini perlu mengutamakan keselamatan dan ketenteraan awam.
“Sekiranya ada risikan atau ada apa-apa maklumat yang kami (polis) terima akan memberi kesan negatif terhadap ketenteraman dan keselamatan awam, polis akan ambil tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis penyerahan sumbangan ‘Masih Ada Yang Sayang’ oleh Majlis Agama Islam Persekutuan kepada 70 anggota Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Semalam, empat individu termasuk Rafidah ditahan polis selepas cuba mencetuskan kekecohan pada majlis pecah tanah Kampung Sungai Baru.
Individu berkenaan termasuk dua wanita berusia antara 39 hingga 47 tahun ditahan di kawasan sekitar Kampung Sungai Baru selepas didapati menjerit sehingga mendatangkan gangguan pada majlis berkenaan. – MalaysiaGazette
















