Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Parlimen ke-15 di Dewan Rakyat, Parlimen. Foto JABATAN PENERANGAN MALAYSIA, 22 JULAI 2025.

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan menandatangani Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) secara segera bukanlah tindakan tergesa-gesa.

Sebaliknya ia merupakan langkah kritikal untuk mengelakkan kemerosotan pelaburan susulan ancaman tarif besar-besaran oleh Washington.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Aziz, Malaysia merupakan negara paling berisiko di rantau ini berikutan kebergantungan tinggi terhadap eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor yang mana sektor yang akan terkesan secara langsung sekiranya tarif 25 peratus dikenakan oleh AS.

“Pada 2020 hingga 2024, eksport kita ke Amerika Syarikat hampir RM200 bilion dan 60 peratus daripadanya adalah produk E&E serta semikonduktor.

“Analisis bersama Bank Negara Malaysia, MITI, MIDA, MATRADE dan pakar luar menunjukkan tanpa ART, pertumbuhan KDNK boleh susut hampir 1.2 mata peratus setahun, iaitu lebih kurang RM30 bilion,” katanya ketika sesi penggulungan pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menambah, kesan kumulatif terhadap ekonomi boleh mencecah ratusan bilion ringgit, selain mengancam ratusan ribu pekerjaan di kawasan perindustrian utama seperti Kulim, Bayan Lepas, Batu Kawan, Pasir Gudang, Senai dan Shah Alam.

“Lebih 7,000 PKS dalam rantaian bekalan syarikat teknologi kita terdedah. Sebab itu melalui ART, kita pastikan tarif ditetapkan pada 19 peratus, bukan 25 peratus atau lebih,” jelasnya.

Mengulas kritikan bahawa kerajaan bertindak gopoh memeterai ART, Tengku Zafrul berkata, Malaysia tidak mempunyai pilihan kerana ancaman tarif yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa mampu menggugat keyakinan pelabur global yang sedang menilai semula lokasi operasi mereka.

“Kita paling terdedah. Struktur eksport kita jauh lebih sensitif kepada tarif berbanding negara ASEAN lain.

“Struktur eksport kita, kebergantungan kepada E&E dan pendedahan kepada tarif apabila syarikat jauh lebih tinggi daripada beberapa negara ASEAN lain yang sering disebut,” katanya.

Beliau turut menolak cadangan supaya Malaysia menunggu pendirian ASEAN terlebih dahulu, sambil menegaskan bahawa solidariti serantau tidak boleh dijadikan alasan mengorbankan kepentingan ekonomi domestik.

“Kita tidak boleh gadaikan nasib pekerja di Kulim, Bayan Lepas atau Pasir Gudang hanya kerana mahu menunggu foto kelihatan tegas di pentas serantau,” ujarnya.

Tengku Zafrul berkata, adalah mudah untuk mengkritik kerajaan selepas risiko berjaya dikurangkan, namun keputusan sukar perlu dibuat ketika ancaman tarif 25 peratus sudah “diacukan tepat kepada ekonomi negara”.

“Saya lebih rela dikritik kerana bergerak cepat untuk menyelamatkan kilang dan pekerjaan rakyat, daripada dipuji kerana berani melawan tetapi membiarkan tarif 25 peratus menghentam tanpa sebarang payung,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast