GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan menubuhkan satu jawatankuasa pakar termasuk wakil masyarakat sivil bagi melaksanakan inkuiri nasional untuk mengkaji punca masalah banjir yang semakin meruncing di negara ini.
Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, langkah itu penting susulan kerugian besar yang direkodkan negara seperti dilaporkan dalam Laporan Khas Kesan Banjir di Malaysia 2024 oleh Jabatan Perangkaan yang menganggarkan kerugian mencecah RM933.4 juta pada tahun lalu.
Katanya, sektor pertanian sahaja mencatatkan peningkatan kerugian daripada RM120.6 juta pada 2023 kepada RM185.2 juta pada tahun lalu.
“Banjir kini melibatkan negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor tidak seharusnya dikaitkan kepada hujan lebat semata-mata sebaliknya memerlukan penelitian menyeluruh terhadap semua puncanya.
“Hujan merupakan fenomena tahunan namun cara ia ditangani menentukan tahap kemusnahan yang berlaku.
“Justeru, pembangunan bandar tanpa perancangan jangka panjang menjadi antara punca utama banjir khususnya apabila permukaan tidak telap air semakin meluas dan sistem longkang sedia ada tidak mampu menampung jumlah air yang besar,” katanya hari ini.
Tambah Mohideen, penggantian kawasan hijau semula jadi, penebangan hutan dan pembangunan di kawasan bukit turut memburukkan keadaan lalu meningkatkan risiko hakisan, tanah runtuh dan pemendapan sungai.
“Masalah pembuangan sampah secara tidak bertanggungjawab yang menyebabkan longkang tersumbat juga menyumbang kepada banjir, sekali gus menimbulkan kebimbangan berterusan dalam kalangan penduduk setiap kali hujan turun.
“Pelbagai langkah pencegahan dapat dilaksanakan, termasuk memastikan setiap pembangunan mematuhi penilaian kesan alam sekitar, saliran, pengangkutan dan sosial.
“Syarat lebih ketat perlu dikenakan bagi melindungi cerun dan kawasan berbukit daripada pembangunan sembarangan,” katanya.
Pemantauan ketat terhadap projek pembangunan serta perluasan kawasan hijau bandar, termasuk sistem taman, hutan bandar dan perlindungan tebing sungai, penting bagi mengelakkan hakisan serta mengutamakan pencegahan banjir dalam setiap perancangan.
“Walaupun kita tidak dapat menghentikan hujan, banjir boleh dicegah atau dikurangkan kemusnahannya jika puncanya ditangani,” katanya. – MalaysiaGazette
















