KUALA LUMPUR – Seorang pemandu lori direman tujuh hari bermula hari ini susulan tindakan melarikan diri daripada pemeriksaan polis dan melawan arus sejauh 150 kilometer (KM) dalam kejadian di Tol Bukit Beruntung semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superitendan Ibrahim Husin berkata, suspek berusia 40 tahun itu akan ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor sepanjang tempoh reman.
“Perintah reman ke atas suspek selama tujuh hari sehingga 7 Disember ini dibenarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Kuala Kubu Bharu selepas permohonan dibuat pihak polis,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Semalam media melaporkan, polis menerima panggilan daripada unit kereta peronda polis (MPV) pukul 5.35 pagi selepas sebuah lori enggan berhenti ketika diarahkan.
Suspek kemudian memandu secara berbahaya dengan melawan arus di Lebuhraya Plus menghala ke Tol Tanjung Malim dan Tol Sungai Buloh sebelum berpatah balik ke Tol Bukit Beruntung.
Dalam kejadian itu, suspek juga cuba melanggar kenderaan MPV ketika anggota cuba memberhentikan lori itu di kawasan berhampiran Tol Beruntung sebelum dia ditahan di Taman Bunga Raja Bukit Beruntung.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















