KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat laporan polis terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung Perjanjian Timbal Balik (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) yang didakwanya ditandatangani tanpa melalui prosedur yang sah.
Dr Mahathir berkata, tindakan itu diambil kerana percaya Anwar telah memeterai perjanjian tersebut tanpa mandat penuh daripada pihak yang sepatutnya mewakili Persekutuan Malaysia.
“Saya sudah buat laporan polis berkenaan dengan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri menandatangani satu perjanjian dengan AS.
“Perjanjian itu sebenarnya tidak sah kerana dia bukan satu orang sahaja yang mewakili Persekutuan,” katanya dalam sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya hari ini.
Menurut Dr Mahathir, sesuatu perjanjian besar melibatkan negara perlu mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, Dewan Rakyat dan Majlis Raja-Raja sebelum dimuktamadkan namun perkara itu didakwa tidak berlaku.
Beliau mendakwa, perjanjian tersebut mengandungi kira-kira 400 muka surat yang tidak didedahkan kepada umum termasuk klausa-klausa yang menurutnya menyerahkan kuasa negara kepada AS.
“Dalam 400 muka surat itu terdapat banyak klausa-klausa yang menyebut bahawa kuasa negara kita sudah diserah kepada AS, apa juga yang kita nak lakukan mesti rujuk kepada AS,” dakwanya.

Beliau turut menyentuh isu keistimewaan Bumiputera dengan mendakwa perjanjian berkenaan boleh menjejaskan dasar-dasar tertentu kerana segala keistimewaan yang diberi kepada Bumiputera tidak boleh dikenakan kepada dagangan AS.
“Dalam perjanjian ini, segala keistimewaan Bumiputera tidak boleh dikenakan kepada barangan atau dagangan AS.
“Maksudnya, kuasa AS sudah sampai ke tahap menidakkan kuasa istimewa Bumiputera, dan apa jua layanan kepada Bumiputera mesti turut diberi kepada AS.
“Sebab itu kita kata bahawa AS sekarang sudah dapat status Bumiputera,” katanya.
Dr Mahathir turut menegaskan tindakan itu boleh dianggap sebagai mengkhianati negara kerana perjanjian tersebut didakwa menjejaskan kedaulatan Malaysia.
Justeru beliau berharap pihak polis menyiasat sama ada Perdana Menteri melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Setakat ini, katanya, sebanyak 139 laporan polis telah dibuat di seluruh negara oleh individu, NGO dan parti politik kerana menganggap isu itu sebagai masalah nasional yang memberi kesan kepada semua rakyat.
Dr Mahathir berkata, perjanjian tersebut tidak patut diratifikasi dan Malaysia seharusnya mengikuti langkah negara seperti Thailand dan Kemboja yang tidak mengesahkan perjanjian seumpama itu.
“Perjanjian ini tak harus disahkan oleh negara Malaysia,” katanya lagi.
ART yang ditandatangani Anwar dan Presiden AS, Donald Trump pada 26 Oktober lalu antara lain bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi kedua-dua negara selain pelarasan tarif serta kerjasama Malaysia dan AS. – MalaysiaGazette
















