Oplus_131072

JOHOR BAHRU – Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) menafikan menjadi alat politik dan mempunyai karenah biokrasi dalam mengagihkan bantuan zakat kepada asnaf di negeri ini.

MAINJ dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya tidak pernah menyulitkan permohonan asnaf sebaliknya mengikut prosedur yang sudah ditetapkan.

Jelasnya, sesiapa sahaja yang berkelayakan untuk menerima zakat boleh memohon dan kuasa mengesahkan borang permohonan tidak terhad kepada ketua kampung sahaja.

“Bahkan ketua komuniti yang lain juga diiktiraf dalam membuat pengesahan seperti imam masjid kariah, amil kawasan, dan ketua Jawatankuasa Perwakilan Penduduk (JKKP),” maklum kenyataan itu.

Kelmarin Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air Pejuang (Pejuang) Johor, Suraya Sulaiman berkata, Baitulmal Johor wajar melonggarkan syarat permohonan bantuan asnaf dengan mengurangkan biokrasi bagi mengelak salah guna kuasa dan menjurus kepada pihak yang berkepentingan dan tidak dijadikan alat politik.

Menurut Suraya, ini kerana terdapat rungutan masyarakat berhubung amalan Baitulmal yang didakwa hanya mengiktiraf pengesahan ketua kampung dalam proses permohonan bantuan zakat.

Jelas beliau, ini termasuk bantuan baik pulih rumah bagi golongan asnaf dan prosedur tersebut menyukarkan permohonan termasuk mereka yang benar-benar layak.

“Pejuang Johor berpendirian bahawa pintu bantuan kepada asnaf tidak wajar disempitkan dengan prosedur yang terlalu rigid dan bergantung kepada satu individu sahaja.

“Ini kerana realitinya pelbagai pemimpin komuniti seperti imam, pengerusi kariah masjid dan ketua-ketua kawasan turut mengetahui keadaan sebenar penerima yang memerlukan,” ujar Suraya.

Mengulas lanjut, MAINJ menjelaskan, pihaknya juga telah meluaskan lagi kaedah permohonan dan kini boleh dimohon terus secara dalam talian.

“Apabila dalam talian bermaksud Pejabat MAINJ di deerah permohon sendiri yang akan membuat siasatan dan penilaian terhadap permohonan ini.”

Mengenai pelantikan ketua kampung sebagai amil zakat, MAINJ memaklumkan, permohonan bantuan zakat melalui ketua kampung bertujuan meluaskan lagi saluran aduan terus daripada masyarakat.

ltu adalah tambahan kepada saluran kemudahan sedia ada sebelum ini di mana selain boleh membuat permohonan di kaunter MAINJ, amil agihan zakat sedia ada seramai 112 orang dan juga permohonan secara dalam talian (on-line) di e-payment.maij.gov.my

“Mengenai cadangan Pejuang Johor supaya Baitulmal Johor mengurangkan birokrasi dalam proses bantuan zakat, Ketua Pegawai Eksekutif MAINJ menegaskan MAINJ sentiasa memastikan proses permohonan bantuan sentiasa telus dan bebas campur tangan politik.

“Ini kerana MAINJ tertakluk kepada peraturan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor Tahun 2003 dan mempunyai tatacara selaras dengan hukum syarak.”

Justeru MAINJ berharap jika ada masyarakat yang memerlukan bantuan, semua pihak memainkan peranan melaporkan kepada pihaknya ataupun saluran disediakan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast