Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail tidak sewajarnya membuat sebarang penghakiman dengan menyimpulkan individu-individu yang ditahan dalam serbuan di sebuah pusat kesihatan baru-baru ini, melakukan perbuatan tidak bermoral hanya kerana mereka berada di premis berkenaan.

Apatah lagi menurut Pengerusi Biro Undang-Undang Kebangsaan DAP, Ramkarpal Singh, siasatan yang lengkap dan profesional bersabit kes itu juga belum dilakukan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor menambah, kenyataan Saifuddin Nasution itu jelas bercanggah dengan prinsip asas bahawa seseorang adalah tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.

Sehubungan itu, ujarnya, Saifuddin Nasution seharusnya lebih berhati-hati dan tidak membuat apa-apa kesimpulan yang boleh menjejaskan integriti proses siasatan.

Dalam masa sama, tambah beliau, pandangan menteri berkenaan bahawa semakan semula undang-undang reman mungkin diperlukan juga adalah tidak wajar.

Jelasnya, tempoh maksimum 24 jam yang diperuntukkan oleh undang-undang bagi membawa seseorang tahanan ke hadapan Majistret selepas tangkapan, seperti termaktub dalam Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, adalah satu perlindungan penting terhadap penyalahgunaan kuasa serta untuk memastikan hak kebebasan diri di bawah Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.

Menurut Ramkarpal, adalah jelas peranan Majistret dalam proses reman adalah untuk memastikan polis mengikut undang-undang secara ketat sebelum seseorang dinafikan kebebasannya dan juga sebagai satu “check and balance” untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis.

Sehubungan itu, tambah beliau, cadangan untuk menambah tempoh reman tersebut atas alasan ketidakcekapan polis, antara lainnya, adalah tindakan yang tidak berasas dan sewajarnya ditolak.

“Tidak dapat dipastikan sama ada Saifuddin (Nasution) telah berunding dengan pihak berkepentingan lain selain pihak polis sebelum membuat kenyataan berhubung cadangan semakan undang-undang tersebut.

“Sekiranya tidak, beliau sepatutnya tidak membuat kenyataan sedemikian secara terbuka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Semalam, Saifuddin Nasution dilaporkan media berkata, ada keperluan untuk menyemak semula perundangan berkaitan aktiviti tidak bermoral, antaranya perbuatan luar tabii yang berleluasa di premis tertutup.

Menurut menteri berkenaan, kelemahan peruntukan sedia ada menyebabkan proses reman tidak dapat dilanjutkan ke atas mereka yang terlibat, sekali gus membazirkan masa dan tenaga anggota bagi operasi serbuan.

Kenyataan beliau itu merujuk kepada penahanan seramai 171 lelaki warga tempatan dalam serbuan aktiviti tidak bermoral (Ops Songsang) di sebuah pusat kesihatan di Chow Kit pada Jumaat lalu.

Namun siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 377 dan Seksyen 372 Kanun Keseksaan tidak dapat diteruskan kerana kekurangan bukti untuk meneruskan pendakwan, iaitu tiada sesiapa mengaku sebagai mangsa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast